KUALA LUMPUR 10 Jun - Fibrilasi atrium (AF), iaitu gangguan rentak jantung yang sering berlaku tanpa sebarang gejala, dikenal pasti sebagai punca kepada satu perempat kes strok di Malaysia.
Bagaimanapun, keadaan itu masih kurang dikesan dalam kalangan masyarakat, sedangkan pemeriksaan nadi secara rutin yang hanya mengambil masa kurang daripada 30 saat sebenarnya mampu membawa perubahan besar.
Pakar Kardiologi, Elektrofisiologi dan Perubatan Dalaman di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Hartini Mohd Yusof berkata keadaan itu berlaku kerana AF masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
Di peringkat global, Kajian Framingham mendapati AF menyumbang kepada 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan kes strok iskemia atau angin ahmar.
Di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan menganggarkan antara 15 hingga 25 peratus kes strok tempatan berkaitan dengan keadaan tersebut. Ia merupakan angka yang besar bagi penyakit yang masih kurang diketahui ramai.
“Fibrilasi atrium meningkatkan risiko strok sehingga lima kali ganda, sedangkan ia sebenarnya antara punca strok yang paling boleh dicegah. Cabarannya ialah ramai pesakit tidak mengalami sebarang gejala,” kata Dr Hartini.

Penyakit Senyap yang Sukar Dikesan
Apa yang menjadikan AF sukar dikesan ialah kerana ia sering berlaku secara senyap.
“Sehingga 30 hingga 40 peratus individu dengan AF tidak menunjukkan simptom, atau dikenali sebagai silent AF. Tanpa pengesanan dan rawatan, mereka kekal berdepan risiko tinggi, malah ada yang hanya menyedari keadaan tersebut selepas mengalami strok,” tambah beliau.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan European Society of Cardiology mengesyorkan pemeriksaan nadi secara rutin sebagai kaedah saringan awal yang mudah dilakukan tanpa perlu ke klinik, peralatan khas atau membuat temu janji.
Nadi yang normal sepatutnya terasa stabil dan teratur dengan kadar antara 60 hingga 100 denyutan seminit. Antara tanda amaran termasuk rentak yang tidak sekata, rasa berdebar atau kadar denyutan jantung yang terlalu laju atau perlahan tanpa sebab jelas.
Individu yang mengalami tanda-tanda tersebut disarankan mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera. Diagnosis biasanya disahkan menerusi elektrokardiogram (ECG) atau pemantauan jantung secara ambulatori, jelas beliau.


Rawatan Berkesan Jika Dikesan Awal
Kajian SAFE pula mendapati pemeriksaan nadi secara rutin berjaya mengenal pasti AF yang sebelum ini tidak didiagnosis dalam kira-kira satu hingga dua peratus dalam kalangan warga emas. Angka ini, jika diterjemahkan kepada populasi keseluruhan, mampu membuka ruang kepada ribuan intervensi awal.
Sebaik sahaja AF didiagnosis, rawatan yang diberikan didapati berkesan. Antikoagulan oral atau lebih dikenali sebagai ubat pencair darah kekal menjadi rawatan utama bagi mencegah strok dengan pengurangan risiko antara 60 hingga 70 peratus.
Ubat generasi baharu yang dikenali sebagai direct oral anticoagulants pula menawarkan manfaat keselamatan tambahan, termasuk risiko pendarahan serius dalam otak yang jauh lebih rendah.
Bagi pesakit tertentu, prosedur seperti ablasi kateter atau penutupan apendaj atrium kiri juga boleh dipertimbangkan.
Walaupun risiko AF meningkat seiring pertambahan usia, terutama bagi individu berumur 65 tahun ke atas, Dr Hartini menegaskan bahawa golongan lebih muda yang mempunyai tekanan darah tinggi, diabetes atau penyakit jantung sedia ada tidak seharusnya menganggap mereka bebas daripada risiko tersebut.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia supaya memeriksa nadi secara berkala, mengawal tekanan darah, diabetes dan kolesterol, mengamalkan gaya hidup sihat serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara konsisten. - DagangNews.com








