Pusat beli belah Ombak, Tahun Melawat Malaysia diyakini jadi pemangkin pendapatan KLCCP pada FY26 - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat beli belah Ombak, Tahun Melawat Malaysia diyakini jadi pemangkin pendapatan KLCCP pada FY26 - Penganalisis

Ombak KLCC masih dalam pembinaan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – KLCCP Stapled Group dijangka mengekalkan prestasi stabil untuk tempoh sehingga FY28 disokong oleh portfolio pejabat, runcit dan hotel yang kukuh, kata penganalisis. 

 

Maybank Investment Bank mengekalkan saranan Pegang dengan sasaran harga RM9.18 manakala MBSB Research pula mengekalkan pandangan Neutral dengan TP RM8.80. 

 

Kedua-dua firma penyelidikan itu melihat pertumbuhan pendapatan dan dividen KLCCP sebagai lebih defensif dalam pasaran semasa.

 

Maybank IB berkata segmen pejabat terus menjadi penyumbang utama pendapatan, dengan kadar penghunian hampir 100% dan sewa jangka panjang manakala aktiviti pengurusan aset dan penyelenggaraan dijangka mengekalkan kualiti dan nilai portfolio, tanpa menumpukan kepada pengembangan besar dalam masa terdekat. 

 

“Ini menjadikan pejabat sebagai penyumbang stabil dalam jangka sederhana. Dalam segmen runcit, Suria KLCC dijangka terus mengekalkan kadar penghunian tinggi pada 98%, dengan aktiviti pelawat yang kukuh.

 

“Projek baharu seperti Ombak KLCC yang dijangka dibuka 2026 dijangka menambah peningkatan pendapatan melalui perkhidmatan pengurusan fasiliti,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata sebahagian besar sewa adalah tetap (~98%) yang menyebabkan pertumbuhan pendapatan dari sewa bergantung terhad kepada faktor lain seperti peningkatan jualan dan aktiviti pelawat.

 

“Segmen hotel, khususnya Mandarin Oriental Kuala Lumpur, dijangka kekal stabil pada kadar penghunian sekitar 60% pada FY26. Peningkatan hasil dijangka berlaku pada FY27 selepas pengubahsuaian apartmen dan peningkatan produk perkhidmatan hotel, selain sokongan daripada pelancongan seperti Tahun Melawat Malaysia 2026. 

 

“Walaupun begitu, hotel masih terdedah kepada perubahan aliran pelancong antarabangsa,” katanya.

 

Dari segi kewangan, Maybank IB menjangkakan DPU FY26–FY28 berada pada 44.8–50.1 sen, dengan pertumbuhan 0.2–6.9%, keuntungan bersih syarikat dijangka meningkat kepada RM868–981 juta manakala pendapatan keseluruhan dijangka berada pada RM1.8 bilion hingga 2.09 bilion.

 

Sementara itu, MBSB Research menjangkakan DPU bagi FY26–FY28 berada pada 45.5–47 sen, dengan hasil dividen antara 4.9–5.1% manakala keuntungan bersih teras dijangka antara RM839–870 juta, dengan operasi pejabat dan runcit menjadi penyumbang utama.

 

“Potensi pertumbuhan jangka pendek agak terhad kerana sebahagian besar sewa adalah tetap malah hotel masih belum kembali ke paras pra-pandemik.

 

“Namun, hasil daripada projek baru seperti Ombak KLCC dan aktiviti TMM 2026 dijangka memberi sedikit sokongan,” katanya.

 

Risiko utama yang perlu diperhatikan pelabur termasuk persaingan dalam segmen runcit, kos operasi yang meningkat, dan turun naik hasil hotel akibat pergantungan kepada pelancong antarabangsa.

 

MBSB Research berkata projek baik pulih hotel dan apartmen juga boleh menjejaskan pendapatan sementara.

 

“Namun di sebalik risiko ini, portfolio KLCCP yang terurus dengan baik dan strategi defensif pengurusan menjadikan syarikat ini lebih stabil berbanding banyak REIT lain di pasaran. 

 

“Pendekatan fokus pada pemeliharaan aset, aktiviti pengurusan fasiliti, dan kestabilan dividen menyokong keyakinan pelabur,” katanya. - DagangNews.com