PTT Synergy menang lagi kontrak projek Bandar Bukit Raja bernilai RM34 juta daripada Sime Darby Property | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PTT Synergy menang lagi kontrak projek Bandar Bukit Raja bernilai RM34 juta daripada Sime Darby Property

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 FebPTT Synergy Group Berhad melalui anak syarikatnya, Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd (PTTSB), sekali lagi meraih kontrak daripada Sime Darby Property (BBR Business Park) Sdn Bhd.


Tender tersebut katanya, bernilai RM34.05 juta untuk kerja-kerja tanah dan tambahan bagi Fasa 1, Pakej 4 (i32, i33 & C21), Bandar Bukit Raja Peringkat 4, Mukim Kapar, Daerah Klang, Selangor.


Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, tarikh permulaan kerja ditetapkan pada 29 Januari 2026, manakala projek siap pada 2 Mac 2027 untuk i33 dan 2 Ogos 2027 untuk keseluruhan projek tersebut.


"Kontrak ini dijalankan dalam urusan perniagaan biasa dan berdasarkan syarat komersial tanpa sebarang keistimewaan berbanding pasaran umum," maklum PTT Synergy kepada Bursa Malaysia hari ini.


Tender itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil masa depan kumpulan sepanjang tempoh kontrak, namun tidak memberi kesan material terhadap aset bersih atau pemilikan saham utama.


Syarikat juga menyatakan risiko operasi projek adalah biasa dan langkah mitigasi diambil jika perlu, manakala tiada pengarah atau pemegang saham utama memiliki kepentingan terhadap tender ini.


“Selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, Lembaga Pengarah PTT Synergy berpendapat yang pelaksanaan kerja berkenaan adalah demi kepentingan terbaik kumpulan,” menurut kenyataan itu.


Pada 16 Disember 2025, syarikat tersebut menerusi PTTSB memperoleh kontrak Sime Darby Property (BBR Business Park) bernilai RM35.88 juta bagi kerja-kerja Fasa 1 Pakej 3 (i30-1, i30-2 & i30-5).


Projek yang terletak di kawasan Bandar Bukit Raja Peringkat 4 itu sudah bermula pada 18 Disember 2025, dan dijangka siap sepenuhnya pada 4 September 2027. - DagangNews.com