KUALA LUMPUR 16 Jun - Prospek jangka pendek sektor semikonduktor Malaysia, dijangka kekal suram berikutan permintaan pasaran akhir yang lemah serta kadar penggunaan kilang yang rendah.
MIDF Research berkata, prestasi kewangan syarikat-syarikat berkaitan pemasangan dan ujian semikonduktor (Osat) pada suku pertama tahun ini agak lemah, dengan kebanyakannya mencatat keputusan yang mengecewakan.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor teknologi dan menjelaskan prestasi lemah itu berpunca daripada kadar penggunaan kemudahan yang rendah dalam kalangan syarikat Osat.
Sehubungan itu, dua syarikat iaitu D&O Green Technologies Bhd dan Unisem (M) Bhd, diturunkan saranan sahamnya masing-masing kepada 'trading sell' dan 'jual'.
Bagaimanapun, Inari Amertron Bhd dinaik taraf kepada 'neutral' daripada 'trading Sell' kerana syarikat berkenaan menunjukkan prestasi kewangan yang lebih stabil berbanding pesaing dan berisiko rendah mengalami kejatuhan nilai.
MIDF Research juga menjangka pendapatan pada suku kedua akan kekal sama tanpa peningkatan yang ketara.
Firma penyelidikan itu menjangka, pemulihan sektor akan berlaku secara perlahan dalam separuh kedua tahun ini, selaras dengan ramalan World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) bagi 2025 yang menunjukkan tidak semua segmen akan berkembang.
WSTS mengekalkan ramalan pertumbuhan tahunan sebanyak 11.2% bagi pasaran semikonduktor global pada 2025.
Pada 2024, jualan semikonduktor global mencecah RM2.67 bilion, melebihi ramalan WSTS sebanyak 0.5%.
Nilai pasaran pada 2025 dijangka meningkat kepada RM2.97 bilion.
Pertumbuhan tersebut dijangka didorong oleh segmen logik dan memori, dengan sokongan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur awan dan peranti elektronik pengguna yang canggih.
MIDF Research berkata, buat masa ini, AI adalah satu-satunya pemacu utama bagi sektor semikonduktor.
"Pasaran telefon pintar dan automotif juga masih lemah dan terus menekan prestasi syarikat semikonduktor tempatan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyedikan berkenaan turut merujuk laporan International Data Corporation (IDC) yang menyemak semula unjuran pertumbuhan pasaran telefon pintar global kepada hanya 0.6% tahun ini, berbanding 2.3% dalam ramalan Februari 2025.
Antara sebabnya adalah ketidaktentuan global, turun naik tarif, serta masalah ekonomi seperti inflasi dan pengangguran yang mengurangkan perbelanjaan pengguna.
IDC juga menjangka pertumbuhan tahunan pasaran telefon pintar kekal perlahan sehingga 2029, dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sekitar 1.4%.
Untuk tahun 2025, pertumbuhan dijangka disumbang oleh pasaran China sebanyak 3.0% hasil pemberian subsidi.
Namun, MIDF Research memberi amaran, kesan subsidi mungkin tidak kekal lama kerana permintaan sebenar lebih bergantung kepada inovasi, bukan bantuan kewangan.
Sementara itu, jualan Apple dijangka menurun sebanyak 1.9% pada tahun 2025, bergantung kepada sambutan terhadap pelancaran iPhone 17.
MIDF Research berkata, permintaan mungkin lemah jika iPhone 17 tidak menawarkan penambahbaikan besar berbanding iPhone 16 atau jika harganya meningkat.
MIDF Research juga menegaskan, semakan semula tarif elektrik yang dijadualkan pada Julai ini boleh meningkatkan kos operasi syarikat dan menjejaskan perancangan untuk jangka sederhana dan panjang. - DagangNews.com








