CYBERJAYA 16 Nov - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan peringatan tegas kepada pengguna media sosial agar lebih berhemah dan bertanggungjawab ketika memuat naik atau berkongsi kandungan, terutama menjelang musim pilihan raya yang semakin hangat.
MCMC menegaskan perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan, menghina pihak lain atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
Platform digital, menurut suruhanjaya itu, harus menjadi ruang penyebaran maklumat yang membina, bukan medan melampiaskan kebencian, hasutan atau serangan peribadi yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan kestabilan negara.
MCMC turut mengingatkan orang ramai bahawa tindakan memuat naik, menghantar atau berkongsi kandungan berunsur hasutan, penghinaan terhadap agama, kaum dan Institusi Diraja (3R), serta kandungan palsu, lucah atau jelik melampau adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk siasatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara sepanjang tempoh pilihan raya, MCMC berkata pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperkukuh pemantauan dan akauntabiliti di platform digital. - DagangNews.com








