West River: Saham M&E murah kini rancak kuasai segmen lumayan pusat data - RHB Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

West River: Saham M&E murah kini rancak kuasai segmen lumayan pusat data - RHB Research 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Julai - West River Bhd dilihat berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor pusat data (DC) hiperskala di Malaysia, disokong penglibatannya dalam projek bernilai tinggi yang menawarkan margin keuntungan lebih baik berbanding projek kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) konvensional.

 

RHB Research berkata, syarikat itu yang sebelum ini kurang diberi perhatian dalam sektor M&E kini mula menembusi pasaran pusat data hiperskala, selain memperoleh akreditasi daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang membolehkannya menyertai projek pencawang voltan tinggi bernilai lebih besar.

 

Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas West River dengan saranan 'Beli' dan nilai saksama (FV) RM0.45 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sebanyak 13 kali.

 

Menurutnya, pada penilaian semasa, saham West River didagangkan pada hanya enam kali P/E FY27 tidak termasuk tunai (ex-cash), menjadikannya antara saham M&E paling murah yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

"West River merupakan pemain M&E yang kurang mendapat perhatian, namun kini sedang mengorak langkah ke dalam pasaran pusat data hiperskala yang berkembang pesat, di mana projek-projek tersebut menawarkan margin lebih tinggi berbanding projek konvensional.

 

"Selain itu, pengambilalihan aset hidrokuasa baru-baru ini dijangka mula menyumbang pendapatan berulang kepada kumpulan bermula FY30," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Pengalaman Dua Dekad

RHB berkata, dengan pengalaman lebih dua dekad, West River menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam bidang kejuruteraan elektrikal (EE) serta penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV).

 

Akreditasi Kelas A dan G7 membolehkan syarikat melaksanakan projek tanpa had nilai kontrak, manakala keupayaan menghasilkan panel elektrik dan papan agihan secara dalaman meningkatkan kecekapan kos, kawalan kualiti serta pelaksanaan projek.

 

Firma penyelidikan itu percaya syarikat berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan pasaran perkhidmatan kejuruteraan M&E Malaysia yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11.9% bagi tempoh 2025 hingga 2029, didorong oleh pelaburan dalam sektor perindustrian, infrastruktur dan pusat data.

 

Setakat akhir Jun 2026, West River mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM180 juta, bersamaan 1.6 kali hasil FY25, yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga suku pertama FY27.

 

Selain itu, syarikat turut mempunyai buku tender sekitar RM600 juta dan berdasarkan kadar kejayaan sejarah kira-kira 10%, RHB menjangkakan buku pesanannya akan terus berkembang.

 

Pemangkin utama pertumbuhan ialah kejayaan memperoleh kontrak pusat data pertama bernilai RM25.2 juta di Johor Bahru, selain sedang membida beberapa lagi projek pusat data hiperskala.

 

Margin Keuntungan Dua Kali Ganda Lebih Tinggi

Menurut RHB, margin keuntungan bagi projek pusat data lazimnya adalah kira-kira dua kali ganda lebih tinggi berbanding projek M&E konvensional.

 

"Jika West River berjaya memperoleh lebih banyak kontrak pusat data, sumbangan segmen itu berpotensi meningkat kepada sekitar 20% daripada buku pesanan, sekali gus meningkatkan margin keuntungan kumpulan," katanya.

 

Dalam masa sama, pensijilan baharu TNB bagi pencawang voltan 33kV hingga 275kV membolehkan syarikat menyertai lebih banyak tender pencawang voltan tinggi serta memanfaatkan peningkatan perbelanjaan modal utiliti nasional itu.

 

Di luar perniagaan teras M&E, West River turut mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui menerusi pengambilalihan 95% pegangan dalam Ace Hydropower dan 70% pegangan dalam Excel Hydropower.

 

Kedua-dua projek hidrokuasa itu melibatkan kapasiti 7.2MW dan 4.5MW di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan dijangka mula menjana pendapatan berulang kepada kumpulan bermula FY30. - DagangNews.com