Ocean Vantage berdepan dua saman baharu lebih RM720,000 berkaitan projek BAGSF-2 di Bintulu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ocean Vantage berdepan dua saman baharu lebih RM720,000 berkaitan projek BAGSF-2 di Bintulu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Julai – Ocean Vantage Holdings Bhd (OVH) berdepan tindakan undang-undang baharu selepas dua syarikat mengemukakan writ saman terhadap anak syarikat milik penuhnya, Ocean Vantage Engineering Sdn. Bhd. (OVE), melibatkan tuntutan berjumlah lebih RM720,000 berkaitan projek Bintulu Additional Gas Sales Facilities-2 (BAGSF-2).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OVH berkata OVE menerima writ saman dan penyataan tuntutan daripada Zhong Ming Construction & Engineering Sdn. Bhd. (ZMCE) serta Teamplex Corporation Sdn. Bhd. berhubung dakwaan bayaran tertunggak bagi kerja-kerja yang dilaksanakan di bawah kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) projek tersebut.

 

Selain OVE, ZMCE turut menamakan Stellar Star Engineering & Construction Sdn. Bhd., OVH, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Willie Ho Huat Voon dan Pengarah Urusan Kenny Ronald Ngalin sebagai defendan.

 

ZMCE mendakwa masih belum menerima bayaran berjumlah RM349,477.94, termasuk faedah dan kos, bagi penyediaan tenaga kerja, kerja fabrikasi, sokongan pengangkatan dan rigging serta perkhidmatan pembinaan berkaitan projek BAGSF-2.

 

Syarikat itu memohon mahkamah mengisytiharkan kelima-lima defendan bertanggungjawab secara bersama atau berasingan terhadap jumlah yang dituntut.

 

Sementara itu, Teamplex menuntut RM370,700, tidak termasuk faedah dan kos, atas dakwaan bayaran tertunggak bagi pembekalan peralatan, jentera sewaan dan perkhidmatan sokongan pembinaan untuk projek yang sama.

 

OVE menerima writ saman ZMCE bertarikh 16 Julai 2026 dan Teamplex bertarikh 14 Julai 2026 pada 17 Julai lalu melalui firma guaman Messrs SY Tang & Co Advocates.


 

BAGSF-2

 


OVH pertikai asas saman

OVH berkata ia telah mendapatkan nasihat guaman berhubung tindakan ZMCE dan dimaklumkan bahawa saman berkenaan boleh dipohon untuk dibatalkan atas alasan res judicata, memandangkan ZMCE sebelum ini telah memperoleh penghakiman terhadap Stellar Star Engineering & Construction pada Jun 2025 bagi transaksi yang sama.

 

Menurut syarikat itu, tindakan terdahulu melibatkan fakta dan isu yang sama berkaitan projek EPCC BAGSF-2, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tuntutan baharu tersebut boleh diteruskan.

 

OVH menambah bahawa defendan lain juga berhak memohon pembatalan saman atas alasan yang sama.

 

Tiada kesan kewangan serta-merta

OVH menegaskan, dakwaan yang dikemukakan kedua-dua plaintif masih belum diputuskan oleh mahkamah dan setakat ini tidak memberi kesan kewangan atau operasi serta-merta kepada kumpulan selain kos guaman dan masa yang diperlukan untuk mempertahankan tuntutan.

 

Syarikat itu berkata proses pelantikan peguam luar sedang dijalankan bagi menyediakan pembelaan terhadap kedua-dua tuntutan berkenaan.

 

OVH turut memaklumkan, sebarang perkembangan material berkaitan litigasi tersebut akan diumumkan kepada Bursa Malaysia dari semasa ke semasa. - DagangNews.com