KUALA LUMPUR 23 Julai - Maybank dan Credit Guarantee and Investment Facility (CGIF), sebuah dana amanah di bawah Bank Pembangunan Asia (ADB), memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperkukuh pembangunan pasaran modal mata wang tempatan di rantau ASEAN+3 melibatkan Asia Tenggara, China, Jepun dan Korea Selatan.
Maybank berkata, kerjasama strategik itu bertujuan membangunkan penyelesaian pembiayaan inovatif serta instrumen pasaran modal baharu seperti bon digital dan penyelesaian kewangan Islam, selain memperluaskan akses pembiayaan kepada sektor-sektor berpotensi tinggi.
Antara bidang tumpuan utama termasuk menggalakkan pembiayaan mampan dan pembiayaan peralihan, menggerakkan pelaburan bagi inisiatif peralihan tenaga, ekonomi digital serta infrastruktur digital, di samping memperkukuh kapasiti dan membantu penerbit mendapatkan sumber pembiayaan yang lebih pelbagai.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk John Chong, berkata kerjasama itu dibina berdasarkan rekod prestasi kukuh kedua-dua pihak selepas berjaya melaksanakan beberapa urus niaga bon dan sukuk utama di Malaysia, Vietnam, Thailand serta Hong Kong.
Menurut beliau, dalam transaksi terdahulu, Maybank Investment Banking Group bertindak sebagai pengatur dan pengurus utama, manakala CGIF menyediakan jaminan kredit.
"Kerjasama ini mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan Maybank dalam pasaran modal serantau.
"Seiring peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) ke Asia, kami melihat peluang besar untuk membangunkan penyelesaian pembiayaan inovatif, memperdalam pasaran modal tempatan serta membolehkan perniagaan mengakses sumber pembiayaan yang lebih pelbagai bagi menyokong pertumbuhan mereka," katanya.
Unjuran Penerbitan Sekuriti Hutang Swasta
Sementara itu, Maybank meningkatkan unjuran penerbitan sekuriti hutang swasta (PDS) Malaysia bagi tahun penuh 2026 kepada RM160 bilion hingga RM170 bilion, berbanding unjuran awal RM150 bilion, susulan prestasi kukuh pasaran pada separuh pertama tahun ini.
Maybank berkata, unjuran lebih tinggi itu disokong oleh saluran penerbitan yang sihat, asas ekonomi makro yang berdaya tahan serta keadaan pembiayaan domestik yang menggalakkan, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan dalam kalangan penerbit dan pelabur.
Trend migrasi penarafan kredit juga kekal positif dengan beberapa tindakan penarafan termasuk peningkatan taraf kredit dan semakan prospek.
Maybank menjangkakan keadaan kredit akan kekal stabil pada separuh kedua 2026, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta momentum pasaran modal domestik.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGIF, Noriko Nasu, berkata pasaran bon mata wang tempatan yang kukuh dan berdaya tahan amat penting bagi menyokong pembiayaan pembangunan jangka panjang Asia.
Beliau berkata, kerjasama bersama Maybank menggabungkan kepakaran kedua-dua organisasi bagi memperluaskan akses kepada modal, merangsang pelaburan sektor swasta serta mempercepatkan pembangunan penyelesaian pembiayaan inovatif di rantau ASEAN+3.
"Kerjasama ini akan menyokong pembangunan infrastruktur mampan, mempercepatkan peralihan tenaga dan menyumbang kepada pembentukan pasaran modal serantau yang lebih kukuh serta bersepadu," katanya.
Antara urus niaga penting yang pernah melibatkan CGIF dan Maybank Investment Banking Group termasuk penerbitan bon sulung Tecomen Holding, SCommerce Investment Corporation serta bon bertaraf AAA oleh BIWASE Long An di Vietnam.
Kerjasama itu turut merangkumi penerbitan bon pusat data bertaraf pertama ASEAN oleh Vantage Data Centre serta Sukuk Wakalah Kanan bernilai RM455 juta oleh ALSREIT Capital Malaysia.
MOU tersebut dimeterai sempena forum sulung bersama CGIF dan Maybank bertajuk "Accelerating Digital Infrastructure Investment Through the Bonds and Sukuk Markets 2026 – Securing Malaysia's Digital Future", yang menghimpunkan kira-kira 150 penggubal dasar, pemimpin korporat dan pemain industri.
Forum berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dengan ucaptama oleh Pengarah Eksekutif Kewangan Korporat dan Pelaburan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Zain Azhari Mazlan, serta sesi perbincangan bersama Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato' Marzunisham Omar. - DagangNews.com








