Penilaian saham AGX masih rendah tidak cerminkan prospek pertumbuhan pendapatan - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penilaian saham AGX masih rendah tidak cerminkan prospek pertumbuhan pendapatan - Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JulaiAGX Group Berhad dilihat berada pada fasa pertumbuhan yang kukuh melalui peningkatan kontrak logistik aeroangkasa dan pengembangan unit All-Link Air & Sea Pte Ltd (ALAS).

 

Menurut analisis Phillip Capital, penilaian saham kumpulan itu masih dianggap rendah walaupun sektor logistik terus berdepan ketidaktentuan perdagangan global dan perubahan rantaian bekalan.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) selama 12 bulan pada 91 sen sesaham, sambil menilai syarikat itu didagangkan hanya 5.5 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2027.

 

"Perkembangan semasa tidak mencerminkan prospek pertumbuhan pendapatannya," kata firma itu susulan lawatannya ke gudang logistik AGX di Filipina serta kemudahan operasi dua pelanggan utama syarikat.

 

Ujar Phillip Capital, sesi itu memberi keyakinan tinggi terhadap keupayaan syarikat mengendalikan penghantaran yang kritikal dari segi masa dan memerlukan kepakaran aspek logistik rentas sempadan.

 

Pihaknya turut melihat potensi pertumbuhan besar susulan rancangan pengembangan pelanggan sedia ada, serta dijangka meningkatkan jumlah penghantaran serta mengukuhkan hubungan jangka panjang.

 

AGX_DagangNews2026

 

Ia turut menyifatkan ALAS sebagai pemacu pertumbuhan AGX yang belum dinilai pasaran selepas berjaya memperoleh TikTok sebagai pelanggan utamanya sebelum memenangi beberapa lagi syarikat global.

 

"Perubahan rantaian bekalan dunia dengan banyak beralih ke ASEAN dijangka meningkatkan permintaan penghantaran rentas sempadan, sekali gus membuka peluang besar kepada ALAS," kata Phillip Capital.

 

Cadangan penyenaraian ALAS di Bursa Singapura bakal mempercepatkan strategi pengembangan syarikat menerusi perluasan rangkaian dan pelanggan serantau, serta peluang pengambilalihan yang strategik.

 

Di samping itu, pertumbuhan pendapatan daripada kontrak logistik aeroangkasa yang dipertingkatkan dijangka menjadi pemangkin utama kepada prestasi kewangan AGX dalam tempoh beberapa tahun lagi.

 

Sehubungan itu, Phillip Capital menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi 2026 sebanyak 3% atas faktor pelarasan teknikal, namun mengekalkan TP berdasarkan penilaian 18 kali PER pada 2027.

 

"Kami berpandangan gabungan pertumbuhan perniagaan logistik aeroangkasa dan potensi penyenaraian ALAS di SGX mampu mengukuhkan profil pertumbuhan dan menyokong bayaran dividen tinggi," katanya.

 

Bagaimanapun, ia mengingatkan risiko pelaksanaan kontrak yang perlahan, dan sumbangan ALAS lebih rendah daripada jangkaan boleh menjejaskan momentum pertumbuhan AGX sendiri. - DagangNews.com