KUALA LUMPUR 23 Julai – Kerajaan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada awal Oktober depan, dengan proses penyediaan dokumen fiskal negara itu kini sedang giat dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan baru sahaja memulakan proses merangka Belanjawan 2027 yang akan menjadi hala tuju dasar fiskal dan perbelanjaan negara bagi tahun depan.
“Kami sedang merangka, dan baru sahaja bermula,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri program Humane Economy Global Discourse 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bagaimanapun Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan tidak mengulas lanjut mengenai sebarang fokus utama atau langkah-langkah yang bakal diberi keutamaan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2027.
Belanjawan 2026 yang dibentangkan beliau pada 10 Oktober 2025 sebelum diluluskan pada 1 Disember 2025, merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan sebanyak RM470 bilion.
Ia merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mencerminkan komitmen kerajaan merangsang ekonomi, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan negara.
Pembentangan Belanjawan 2027 pada awal Oktober nanti dijangka menjadi tumpuan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat, khususnya bagi melihat hala tuju serta insentif sektor strategik. - DagangNews.com








