Kesesakan Pelabuhan Sepanggar petanda positif ekonomi Sabah, kemajuan kerja pembesaran 62.75% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesesakan Pelabuhan Sepanggar petanda positif ekonomi Sabah, kemajuan kerja pembesaran 62.75%

Oleh HAMDEN RAMLI

KOTA KINABALU 23 Julai - Kesesakan yang berlaku di Pelabuhan Sepanggar bukan lagi sekadar cabaran operasi, sebaliknya mencerminkan peningkatan aktiviti ekonomi Sabah susulan lonjakan pelaburan baharu yang mendorong pertumbuhan eksport dan perkhidmatan perkapalan terus ke negeri itu.

 

Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata peningkatan kargo di Pelabuhan Sepanggar adalah kesan daripada pertambahan aktiviti penghantaran terus selepas semakin banyak syarikat industri mula beroperasi dan meningkatkan pengeluaran.

 

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan perubahan landskap ekonomi Sabah apabila syarikat perkapalan kini semakin melihat Pelabuhan Sepanggar sebagai hab penting berikutan peningkatan jumlah kontena eksport.

 

"Ini adalah petanda aktiviti ekonomi yang sihat dan bukannya semata-mata perkembangan negatif. Kesesakan ini adalah masalah yang baik untuk kita selesaikan kerana ia menunjukkan peningkatan aktiviti ekonomi," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Pihak Berkuasa Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 pada Rabu.

 

Menurut beliau, sebelum ini syarikat perkapalan lebih memilih Pelabuhan Klang berbanding Pelabuhan Sepanggar kerana kekurangan jumlah kontena untuk dibawa keluar dari Sabah bagi perjalanan seterusnya.

 

"Beberapa tahun lalu, Pelabuhan Sepanggar lebih banyak menerima kontena import. Syarikat perkapalan memilih Pelabuhan Klang kerana jika mereka menghantar terus ke Sepanggar, tidak banyak kontena tersedia untuk perjalanan pulang," katanya.

 

Bagaimanapun, keadaan itu berubah dengan kemasukan pelaburan baharu khususnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang meningkatkan aktiviti eksport negeri.

 

Ewon berkata, kehadiran syarikat seperti Kibing dan SK Nexilis yang menghasilkan produk untuk pasaran eksport telah meningkatkan jumlah kontena keluar melalui Pelabuhan Sepanggar.

 

"Peningkatan jumlah eksport ini menyebabkan lebih banyak perkhidmatan penghantaran terus dari pelabuhan luar negara ke Sepanggar berlaku dengan lebih kerap, dan perkara itu menyumbang kepada kesesakan yang kita lihat hari ini," katanya.

 

Sehubungan itu, Ewon berkata kerajaan negeri melihat potensi besar untuk membangunkan keseluruhan ekosistem pelabuhan Sabah bagi menyokong pertumbuhan perdagangan dan pelaburan pada masa hadapan.

 

Kelewatan Projek Pembesaran

Sementara itu, berkaitan projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar, Ewon berkata kelewatan projek tersebut berpunca daripada isu bekalan pasir yang memenuhi spesifikasi ditetapkan, bukannya kekurangan simen.

 

Menurut beliau, pasir berkualiti mengikut standard hanya boleh diperoleh kira-kira 10 kilometer dari Pelabuhan Sepanggar di kawasan laut, menyebabkan projek berkenaan mengalami kelewatan dan menerima lima lanjutan masa sehingga Oktober 2027.

 

Setakat Jun, kemajuan projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar telah mencapai 62.75%.

 

Beliau berkata, kontraktor projek turut bersetuju menyerahkan sebahagian tanah untuk kegunaan sementara sebagai kawasan penyimpanan kontena bagi mengurangkan tekanan operasi sementara menunggu keseluruhan projek siap.

 

"Selepas pertemuan dengan kontraktor pada Februari lalu, sekurang-kurangnya empat ekar tanah telah dijamin untuk diserahkan sebagai kawasan kontena sementara sehingga projek pembesaran disiapkan sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com