Kontrak projek premium tingkatkan buku tempahan GDB melepasi RM1 bilion, kata Apex Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak projek premium tingkatkan buku tempahan GDB melepasi RM1 bilion, kata Apex Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JulaiGDB Holdings Berhad terus mengukuhkan prospek pertumbuhan dengan berjaya meraih kontrak pembinaan premium bernilai RM434 juta bagi projek Wolo Hotel & Residences Mont Kiara.

 

Menurut Apex Securities, kejayaan itu melonjakkan buku tempahannya untuk melepasi RM1 bilion dan meningkatkan keterlihatan hasil hingga FY30 ketika industri pembinaan masih berdepan cabaran kos.

 

Firma penyelidikan itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai perkembangan positif dan mengekalkan saranan 'beli', sambil menaikkan harga sasaran (TP) kepada 60 sen berbanding 57 sen sebelum ini.

 

"Nilai kontrak tersebut lebih besar berbanding buku tempahan GDB berjumlah RM620 juta setakat 31 Mac 2026, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan syarikat berkenaan," jelasnya lagi. 

 

Apex Securities menganggarkan projek itu mampu menyumbang keuntungan selepas cukai (PAT) terkumpul RM35 juta sepanjang FY26 hingga FY30 berdasarkan margin keuntungan bersih dianggarkan sekitar 8%.

 

Ia berpandangan risiko pelaksanaan projek adalah terkawal memandangkan rekod prestasinya konsisten menyiapkan projek mengikut jadual, termasuk penyerahan projek Metrohub 4 dengan 45 hari lebih awal.

 

Artikel berkaitan: GDB raih kontrak RM439.4 juta bina Wolo Hotel & Residences Mont Kiara

 

GDB_DagangNews2026

 

Susulan kontrak baharu itu, buku tempahan GDB kini meningkat kepada RM1 bilion, manakala nilai tender yang sedang dibida kekal kukuh sekitar RM10 bilion, meliputi pelbagai jenis projek pembangunan.

 

"Sektor pembinaan domestik terus disokong perbelanjaan infrastruktur kerajaan, hartanah bertingkat di Lembah Klang serta peningkatan permintaan terhadap ruang industri dan logistik," kata Apex Securities.

 

Pada masa yang sama, pertumbuhan pesat pelaburan pusat data (DC) dan kecerdasan buatan (AI) turut membuka peluang baharu kepada kontraktor berpengalaman seperti kumpulan itu untuk meraih peluang.

 

Justeru, ia menaikkan unjuran pendapatan GDB bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 2.0%, 5.9% dan 7.1%, selain meningkatkan unjuran pengisian semula buku tempahan untuk FY26 kepada RM1.3 bilion.

 

Apex Securities berpandangan kepelbagaian sektor, termasuk potensi projek infrastruktur, akan mengurangkan tahap kebergantungan syarikat itu kepada projek kediaman bertingkat semata-mata.

 

"Bagaimanapun, kami mengingatkan risiko utama yang perlu dipantau ialah kenaikan harga bahan binaan, kegagalan kontrak baharu dan tuntutan ganti rugi kelewatan penyiapan projek," katanya. - DagangNews.com