Struktur kayu hempap talian elektrik lumpuhkan KTM Komuter dan ETS di Batang Benar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Struktur kayu hempap talian elektrik lumpuhkan KTM Komuter dan ETS di Batang Benar

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Julai – Perjalanan ribuan penumpang KTM Komuter Lembah Klang dan Electric Train Service (ETS) hari ini tergendala selepas struktur kayu dari tapak pembinaan sebuah jambatan tumbang ke atas landasan sebelum menghempap sistem bekalan elektrik tren di Batang Benar, Negeri Sembilan.

 

Insiden yang berlaku ketika kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor bagi projek wayleave Jabatan Kerja Raya (JKR) itu menyebabkan sistem Overhead Line (OHL) di antara Batang Benar dan Labu mengalami kerosakan, sekali gus memaksa KTMB menyusun semula operasi tren di laluan berkenaan.

 

Akibat kerosakan itu, perkhidmatan KTM Komuter dan ETS mengalami kelewatan yang ketara, manakala sebahagian perjalanan terpaksa ditamatkan lebih awal dan digantikan dengan perkhidmatan bas perantara.

 

KTMB dakwa kontraktor gagal patuhi prosedur

Menjelaskan punca kejadian, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata insiden itu bukan berpunca daripada operasi kereta api, sebaliknya melibatkan kerja pembinaan oleh kontraktor pihak ketiga.

 

Menurut KTMB, walaupun Permit Masuk Tapak telah dikeluarkan bagi membolehkan kerja dijalankan, kontraktor berkenaan didakwa gagal mematuhi syarat serta prosedur keselamatan yang ditetapkan.


 

solar
Bahan binaan projek wayleave Jabatan Kerja Raya (JKR) jatuh ke atas landasan di Batang Benar, Negeri Sembilan. - Gambar KTMB

 


Antara ketidakpatuhan yang dikenal pasti ialah kegagalan mengemukakan jadual pelaksanaan kerja secara lengkap selain tidak memaklumkan kepada KTMB mengenai waktu sebenar kerja dijalankan pada hari kejadian.

 

KTMB berkata, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Permit Masuk Tapak, tiga wakil teknikal daripada bahagian Jurutera Wilayah, Semboyan dan Komunikasi serta Elektrifikasi sepatutnya ditempatkan di lokasi bagi memantau kerja selepas semua dokumentasi lengkap dan kelulusan penuh diperoleh.

 

Bagaimanapun, keadaan itu tidak berlaku kerana keperluan prosedur berkenaan tidak dipenuhi sepenuhnya.

 

Laluan terputus operasi sementara

Susulan kerosakan sistem bekalan elektrik, perjalanan KTM Komuter dari Pulau Sebang ke KL Sentral ditamatkan di Stesen Seremban, manakala perjalanan ke arah KL Sentral dan Batu Caves hanya bermula dari Stesen Bangi.

 

Perkhidmatan KTM Komuter di antara Stesen Bangi dan Stesen Seremban pula digantung sehingga dimaklumkan kelak.

 

Bagi mengurangkan kesan kepada penumpang, KTMB menggerakkan tiga bas perantara yang beroperasi di Seremban, Tiroi, Batang Benar, Labu dan Bangi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan.

 

Dalam masa sama, tujuh bas perantara turut disediakan bagi penumpang ETS di KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang dan Seremban.

 

KTMB turut memaklumkan penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan dari stesen permulaan layak menerima pemulangan tambang penuh.

 

Usaha pemulihan sedang dijalankan

KTMB berkata pasukan teknikalnya sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan ke atas sistem elektrik alat talian atas yang rosak bagi memulihkan operasi tren secepat mungkin.

 

Syarikat itu turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan menegaskan bahawa keselamatan operasi serta pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

 

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan menerusi saluran media sosial rasmi KTMB atau bertanyakan kepada kakitangan stesen yang bertugas. - DagangNews.com