Projek solar 99.99MW di Pasir Mas jadi pemangkin ekonomi hijau Kelantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek solar 99.99MW di Pasir Mas jadi pemangkin ekonomi hijau Kelantan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Projek Solar Berskala Besar (LSS5) dengan kapasiti 99.99 megawatt (MW) di Pasir Mas yang diterajui Samaiden Group Berhad bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi hijau Kelantan, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi negeri itu dalam sektor tenaga boleh baharu (RE).

 

Projek yang dibangunkan menerusi anak syarikat Samaiden, Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd itu melibatkan kawasan seluas 400 ekar (161.8 hektar) di Kampung Serongga, Mukim Apam, Pasir Mas di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui pajakan selama 23 tahun.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelaksanaan projek strategik tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Kelantan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi, khususnya dalam industri tenaga lestari.

 

Menurut beliau, pembangunan loji tenaga solar itu bukan sahaja memperkukuh infrastruktur tenaga bersih negeri, malah mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan penyertaan syarikat tempatan serta membangunkan rantaian ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.

 

“Kerajaan Negeri tidak mahu pembangunan yang akhirnya meminggirkan masyarakat tempatan atau menyebabkan mereka menjadi asing di bumi sendiri. 

 

“Sebaliknya setiap pelaburan yang dibawa masuk hendaklah membuka ruang kepada penyertaan rakyat, memperkasa ekonomi setempat serta mengangkat kesejahteraan negeri secara menyeluruh,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS5) Pasir Mas di Kampung Serongga Mukim Apam, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof.

 

t

 

t

 

Kelantan sedia manfaat peluang peralihan tenaga

Selain itu, Mohd Nassuruddin berkata, peningkatan permintaan terhadap sumber tenaga bersih di peringkat global membuka peluang lebih luas kepada Kelantan untuk memperkukuh penyertaan dalam industri tenaga boleh baharu.

 

Katanya, tenaga solar mempunyai potensi besar dalam menyokong keperluan tenaga masa hadapan selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

 

“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan, PKINK dan sektor swasta seperti Samaiden menjadi asas penting dalam memperkukuh ekosistem pelaburan tenaga hijau serta memastikan manfaat ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat,” katanya.

 

Projek LSS5 Pasir Mas dijangka menjadi antara contoh pembangunan tenaga hijau yang bukan sahaja menyokong agenda kelestarian negara, malah meningkatkan daya tarikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan baharu dalam sektor tenaga boleh baharu.

 

Bagi Samaiden, projek berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan itu sebagai pemain industri tenaga boleh baharu tempatan yang aktif dalam pembangunan projek solar serta penyelesaian tenaga bersih.

 

Penglibatan Samaiden dalam projek LSS5 Pasir Mas turut menunjukkan keyakinan sektor swasta terhadap prospek pertumbuhan tenaga solar di Malaysia, selain memperluaskan portfolio syarikat dalam pembangunan aset tenaga boleh baharu. - DagangNews.com