Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bayar premium tanah RM116.3 juta, buka peluang pelaburan di KTCC Muara Utara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bayar premium tanah RM116.3 juta, buka peluang pelaburan di KTCC Muara Utara

Jambatan Angkat Kuala Terengganu
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 23 Julai - Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) membayar sepenuhnya premium tanah Borang 5A Kanun Tanah Negara berjumlah RM116.28 juta bagi keseluruhan kawasan pembangunan strategik Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Muara Utara seluas 36.4 hektar.

 

Cek bernilai RM116,280,936 itu diserahkan kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dalam satu majlis yang disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohd Daham serta barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LTAWNT. 

 

“Penyelesaian bayaran premium tersebut membolehkan LTAWNT memperoleh hak milik tanah, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek fizikal serta perancangan strategik di kawasan KTCC Muara Utara.

 

"LTAWNT menjangkakan pelaksanaan projek di kawasan itu dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat," menurut kenyataan itu.

 

LTAWNT berkata, kejayaan melunaskan keseluruhan komitmen kewangan tersebut adalah hasil pengurusan aliran tunai dan kewangan yang cermat serta kukuh.

 

Menurutnya, pembayaran itu dibuat mengikut jadual bagi memastikan projek-projek fizikal di Terengganu dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan.

 

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi (UPEN) telah mengenal pasti beberapa pelabur yang berminat untuk membangunkan kawasan KTCC Muara Utara.

 

Bagaimanapun, masih terdapat peluang kepada pelabur lain untuk turut serta dalam membangunkan kawasan strategik berkenaan.

 

t
Ahmad Samsuri (empat dari kiri) menyaksikan majlis penyerahan cek LTAWNT bagi kawasan pembangunan strategik KTCC Muara Utara untuk tahun 2025 dan 2026

 

Sehubungan itu, LTAWNT mengalu-alukan penyertaan pelabur untuk bersama-sama meneroka pelbagai potensi pelaburan bernilai tinggi di KTCC Muara Utara.

 

LTAWNT turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong agenda pembangunan negeri dan memastikan setiap pemilikan aset tanah kerajaan negeri diuruskan secara teratur demi memberikan limpahan manfaat sosioekonomi kepada rakyat Terengganu.

 

KTCC ialah projek pembangunan pinggir laut mega terancang di bawah seliaan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dikenali sebagai "Bandar Warisan Pesisir Air" dengan menggabungkan elemen pemodenan pesat dan identiti budaya Terengganu. 

 

Terletak strategik di muara Sungai Terengganu, pembangunan ini bertujuan untuk melonjakkan sektor ekonomi, pelancongan, dan komersial di Pantai Timur.

 

Mercu tanda paling ikonik di kawasan pembangunan ini ialah Jambatan Angkat Kuala Terengganu (KTCC Drawbridge), yang merupakan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara. 

 

Selain menjadi laluan perhubungan penting yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, jambatan ini menjadi tarikan pelancong utama kerana seni binanya yang unik seakan jambatan terkenal di London. 

 

Pembangunan sekitar turut dilengkapi dengan kawasan riadah dan dataran awam yang menghadap Laut Cina Selatan.

 

Sektor komersial KTCC diterajui oleh KTCC Mall, pusat beli-belah moden terbesar di negeri Terengganu yang menyediakan pelbagai premis perniagaan, rangkaian restoran, pawagam, dan taman tema keluarga.

 

Di sekeliling hub komersial ini, pelan induk KTCC turut merangkumi zon kediaman bertaraf tinggi, hotel bertaraf bintang, serta ruang pejabat korporat.  - DagangNews.com