KUALA LUMPUR 23 Julai – Pasaran automotif Malaysia dijangka mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua 2026 (2H26), disokong pelancaran model baharu, peningkatan kempen promosi serta keadaan ekonomi yang lebih stabil, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 67,879 unit pada Jun 2026, naik 10% berbanding Mei 2026 dan melonjak 23.1% berbanding Jun tahun lalu.
“Peningkatan jualan pada Jun 2026 didorong oleh jumlah hari bekerja yang lebih tinggi, sekali gus membantu jumlah pengeluaran kenderaan (TPV) meningkat sekitar 20% berbanding bulan sebelumnya kepada kira-kira 69,000 unit.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jualan kenderaan meningkat kepada 385,353 unit berbanding 375,551 unit dalam tempoh sama tahun lalu, mencatat pertumbuhan 2.8%. Angka itu mewakili kira-kira 49% daripada unjuran jualan kenderaan sepanjang 2026 kami,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research menaikkan unjuran TIV 2026 kepada 805,000 unit berbanding anggaran sebelum ini sebanyak 780,000 unit.
Pengeluar Nasional Kekal Menguasai Pasaran Tempatan
Menurut RHB Research, pengeluar kenderaan nasional terus menguasai pasaran Malaysia dengan pegangan sekitar 67% setakat Jun 2026, diterajui Perodua dan Proton.
Perodua merekodkan jualan sebanyak 27,517 unit pada Jun 2026, meningkat 12.4% berbanding Mei 2026, manakala Proton mencatat jualan sebanyak 15,450 unit walaupun menurun 4.3% berbanding bulan sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, Proton mencatat peningkatan jualan sebanyak 40.5% tahun ke tahun, manakala Perodua merekodkan penurunan 4.7%.
Peningkatan Proton banyak disokong oleh prestasi model baharu yang mendapat sambutan pengguna.
Bagi pengeluar bukan nasional, jualan turut menunjukkan pemulihan dengan Honda mencatat peningkatan bulanan tertinggi sebanyak 76.7%, diikuti BYD yang meningkat 30.2% dan Chery sebanyak 10%.
Selain itu, segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) terus menjadi pilihan pengguna dengan menyumbang kira-kira 33% daripada jumlah jualan kenderaan penumpang bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.

Pertumbuhan EV Menjadi Pemacu Baharu Industri
Dalam segmen kenderaan elektrik (EV), RHB Research melihat pertumbuhan berterusan apabila jumlah pendaftaran EV meningkat kepada 6,215 unit pada Jun 2026, naik 23% berbanding bulan sebelumnya.
Jumlah pendaftaran EV bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 mencecah kira-kira 32,000 unit, menjadikan EV menyumbang 7.8% daripada keseluruhan pendaftaran kenderaan berbanding 5.1% pada 2025.
Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut merangkumi jenama bukan ahli Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Proton menjadi jenama EV paling laris pada Jun 2026 dengan 1,888 unit, diikuti BYD sebanyak 1,076 unit dan Tesla sebanyak 935 unit.
RHB Research berkata, peningkatan jualan EV berkemungkinan dipacu aktiviti pembelian awal pengguna sebelum pelaksanaan dasar baharu EV bermula 1 Julai 2026. Beberapa model baharu seperti Jaecoo J5 EV dan Xpeng versi pemasangan tempatan (CKD) juga telah dibuka untuk tempahan.
Sementara itu, Perodua hanya merekodkan 65 pendaftaran EV pada Jun 2026 berbanding 80 unit pada Mei 2026 walaupun selepas pelarasan harga dilakukan.
Prospek Positif Tetapi Sektor Kekal Neutral
RHB Research menjangkakan jualan automotif terus meningkat pada separuh kedua 2026, didorong faktor bermusim termasuk peningkatan jualan hujung tahun, pelancaran model baharu seperti Proton e.MAS 7 Premium Plus EV, BYD Atto 3 dan Mazda CX-5.
Berdasarkan corak sejarah, separuh pertama tahun biasanya menyumbang sekitar 46% hingga 48% daripada keseluruhan TIV tahunan. Sekiranya corak sama berulang, jumlah jualan 2026 dianggarkan boleh berada antara 806,000 hingga 844,000 unit.
Walaupun prospek lebih baik, RHB Research mengekalkan penarafan Neutral terhadap sektor automotif disebabkan ketidaktentuan dasar, tekanan inflasi yang boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna serta kitaran penggantian kenderaan yang dijangka semakin perlahan selepas empat tahun mencatat rekod jualan tinggi.
RHB Research turut memberi amaran terhadap risiko seperti tempahan yang lebih lemah daripada jangkaan, persaingan harga yang sengit serta peningkatan kos akibat ketidaktentuan global dan turun naik harga komoditi.
Dalam liputan sektor itu, Sime Darby Bhd menjadi pilihan utama RHB Research dengan cadangan “Beli” dan harga sasaran RM2.27, manakala Bermaz Auto Bhd dan MBM Resources Bhd diberi saranan “Neutral” serta Tan Chong International Ltd diberi saranan “Beli”. - DagangNews.com








