KUALA LUMPUR 16 Feb – Prestasi kukuh 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2025 mengundang pandangan analisis yang berbeza dalam kalangan dua firma penyelidikan tempatan.
Mereka namun menyifatkan prospek kumpulan peruncitan tersebut sebagai positif berikutan keuntungan bersih sebanyak RM614 juta yang dicatatkan pada FY25 iaitu peningkatan 20% tahun ke tahun (YoY).
RHB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) baharu RM4.02 berbanding hanya RM4.06 sebelum ini, membayangkan potensi kenaikan 2% serta hasil dividen kira-kira 2% bagi FY26.
"Keuntungan bersih teras diraih 99 Speed Mart pada FY25 adalah sejajar dengan jangkaan awal, yang merangkumi 98% daripada unjuran kami dan konsensus," kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Hasil FY25 naik 15% kepada RM11.4 bilion, disokong penambahan sebanyak 259 cawangan baharu iaitu meningkat 9% dan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) 7.8%, dipacu lonjakan sejak suku ketiga 2025.
Pertambahan tersebut jelas RHB Research, susulan inisiatif menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), manakala margin keuntungan kasar pula dilihat hanya berkembang 0.3 mata peratusan kepada 11.4%.
Bagaimanapun keuntungan bersih suku keempat FY25 susut 2% suku ke suku (QoQ) kepada RM157 juta akibat perbelanjaan operasi tinggi termasuk bonus kakitangan serta kadar cukai efektif meningkat.
"Walaupun kedudukan strategik 99 Speed Mart membolehkannya meraih sokongan fiskal kerajaan dan perbelanjaan pengguna, sebahagian besar faktor ini sudah diambil kira dalam harga semasa," katanya.
Artikel berkaitan: 99 Speed Mart raih untung bersih RM614.2 juta bagi FY25, disokong strategi pertambahan cawangan
Justeru, RHB Research menyatakan saham berkenaan kini diniagakan pada kira-kira 46 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26, selari penilaian diberikan kepada Nestle (Malaysia) Berhad.
Sementara itu, MBSB Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP tidak berubah iaitu RM4.41, berasaskan 45 kali P/E disandarkan kepada unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 9.8 sen.
Firma tersebut berkata, situasi pada 4QFY25 mencatat hasil RM3.08 bilion (19% YoY) dan keuntungan bersih teras RM159.8 juta (22.2% YoY), menjadikan ia menepati 99% daripada unjuran penuh tahun.
"Prestasi ini didorong pertumbuhan rangkaian cawangan kepada 3,037 outlet selepas penambahan bersih lebih 200 kedai sepanjang FY25, serta faktor SSSG yang kukuh 11.6% bagi suku keempat," katanya.
Jumlah transaksi jualan kata MBSB Research, naik 17.4% YoY dengan purata saiz bakul belian lebih tinggi iaitu RM21, manakala bagi tahun penuh, hasil meningkat sebanyak 14.6% kepada RM11.43 bilion.
Firma itu berpandangan pertumbuhan keuntungan disokong pengembangan margin kasar dan operasi hasil jumlah jualan, di samping peningkatan pendapatan operasi lain naik 15.3% kepada RM939.6 juta.
Keadaan tersebut jelasnya, yang membantu 99 Speed Mart dalam mengimbangi kenaikan kos gaji minimum pekerjanya dan susut nilai, manakala dari segi prospek, ia optimis terhadap strategi syarikat.
"Ini termasuk pertambahan secara purata 250 outlet setahun, pengukuhan logistik serta pertumbuhan platform jualan pukal e-dagang yang memberi potensi pertumbuhan tambahan," kata MBSB Research.
Secara keseluruhan, dua firma bersetuju yang kumpulan itu kekal sebagai saham pengguna dengan asas domestik kukuh, namun berbeza pandangan kepada tahap penilaian semasa. - DagangNews.com








