KUALA LUMPUR 13 Feb - 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad berjaya mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM614.20 juta bagi tahun kewangan penuh (FY25) yang berakhir pada 31 Disember 2025.
Selain itu, syarikat rangkaian peruncitan tersebut yang menguruskan sebanyak 3,037 cawangan, turut meraih keuntungan bersih yang mencecah kira-kira RM157.16 juta bagi tempoh suku keempat FY25.
Prestasi cemerlang ini disokong oleh sumbangan jualan positif daripada pertambahan rangkaian cawangan secara agresif serta perbelanjaan pengguna kukuh terhadap barangan keperluan harian.
"Bagi 4QFY25, hasil meningkat 19.0% mencecah RM3.08 bilion berbanding RM2.58 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya," tambah 99 Speed Mart dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi keseluruhan 2025 jelasnya, jumlah pendapatan juga melonjak 14.5% kepada RM11.43 bilion, dan setakat 31 Disember 2025, syarikat berjaya membuka 259 cawangan baharu sepanjang tahun tersebut.
Platform e-dagang jualan pukal syarikat turut memberikan impak positif dengan sumbangan hasil tambahan RM13.1 juta pada suku dikaji dan RM49.7 juta bagi sepanjang tahun kewangan 2025.
Perbelanjaan pentadbiran dan operasi naik 16.6% kepada RM391.0 juta pada 4QFY25, dipicu pelarasan gaji minimum bermula 1 Februari 2025 dan peningkatan kos susut nilai kerana pembukaan cawangan.
"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, 99 Speed Mart sudah membayar jumlah dividen sebanyak RM378 juta, yang merangkumi dividen interim pertama, kedua, dan dividen khas," katanya.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu kekal komited dengan strategi pengembangan dengan menyasarkan pembukaan kira-kira 250 cawangan baharu pada setiap tahun di pelbagai lokasi strategik.
Syarikat juga memperkukuh platform jualan pukal dan melaksanakan inisiatif hijau seperti pemasangan panel solar dan penggunaan trak penghantaran elektrik bagi menyokong kecekapan kos. - DagangNews.com








