KUALA LUMPUR 9 Julai - Malaysia tidak akan berkompromi dalam hal-hal berkaitan kepentingan dan kedaulatan negara dalam rundingan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia telah berunding dengan pihak AS dalam sekurang-kurangnya 25 sesi pertemuan berasingan, dengan mengimbangi dialog yang membina dan pendirian tegas terhadap isu-isu utama.
"Kami berunding dengan niat yang baik, dengan semangat tolak ansur, namun tetap tegas dalam perkara-perkara penting yang melibatkan kepentingan negara dan kedaulatan.
"Terdapat garis merah tertentu yang kami tidak akan kompromi," kata Tengku Zafrul kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: AS kenakan tarif 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos, lebih tinggi daripada tarif asal 24%
Beliau berkata, rundingan sememangnya rumit dan sudah pasti akan berlaku sedikit pengorbanan, namun matlamat tetap jelas untuk memastikan akses pasaran eksport negara, memodenkan ekonomi dan melindungi mata pencarian Malaysia untuk jangka panjang.
Katanya, dalam tempoh tersebut, MITI juga berlibat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi untuk mendapatkan maklum balas dan persetujuan mereka mengenai pelbagai perkara termasuk produk perindustrian, produk pertanian, langkah-langkah halangan bukan tarif dan perdagangan digital.
"Berdasarkan pengiraan dalaman kami, tawaran akses pasaran bagi produk industri dan pertanian kami telah meliputi sebahagian besar permintaan AS," katanya
Tengku Zafrul berkata, pihaknya juga perlu mencapai tahap persetujuan yang tinggi mengenai isu-isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di AS untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS.
"Saya mesti tekankan sekali lagi bahawa defisit perdagangan AS dengan Malaysia menunjukkan trend menurun sejak 6 tahun lalu (sejak 2019).
"Antara hari ini dan 1 Ogos, MITI akan terus berlibat urus dengan wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan serta pegawai mereka mengenai perkara-perkara yang masih tertunggak," katanya.- DagangNews.com








