Keuntungan Telekom Malaysia merosot pada FY25 ekoran kos VSS lebih tinggi daripada jangkaan – Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Telekom Malaysia merosot pada FY25 ekoran kos VSS lebih tinggi daripada jangkaan – Penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb – Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan prestasi kewangan yang lebih lemah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berikutan kos Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang lebih tinggi daripada jangkaan, kata penganalisis.

 

Keuntungan teras TM bagi FY25 ialah RM1.387 bilion, menurun 29.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, hanya mencapai 77 peratus daripada ramalan penganalisis.

 

Bagi suku keempat FY25, keuntungan teras hanya RM111 juta, merosot 86.5 peratus tahun ke tahun, sekali gus menjadi punca utama prestasi keseluruhan yang lemah. Kos VSS bagi 4Q25 direkodkan RM295 juta berbanding RM162 juta yang dijangka, sementara keuntungan daripada pelaburan sebanyak RM92 juta sedikit membantu menampung impak kos tinggi tersebut.

 

 

 

 

 

 

TM membayar dividen sebanyak 31 sen bagi FY25, termasuk dividen khas 4 sen, yang mewakili 69 peratus daripada keuntungan dilaporkan.

 

CGS International berkata walaupun dividen kekal, prestasi keuntungan yang merosot menimbulkan cabaran bagi pelabur yang menilai pulangan ekuiti.

 

“Bagi FY26, pengurusan TM menjangka keuntungan operasi sebelum faedah dan cukai (EBIT) akan kekal pada paras FY25 iaitu RM2.026 bilion kerana kos VSS dijangka berterusan. Selain itu, TM dijangka menanggung kos tambahan berkaitan akses rangkaian 5G daripada Digital Nasional Berhad (DNB) berjumlah RM127.3 juta.

 

“TM akan beralih menggunakan rangkaian 5G kedua milik U Mobile untuk akses, yang dijangka memberikan penjimatan kos tambahan. Namun, kami menurunkan ramalan keuntungan teras bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 15.4 peratus, 6.1 peratus dan 6.0 peratus, mengambil kira kos tinggi serta prestasi FY25,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Telekom Malaysia bagi 4QFY25 merudum ketara kepada RM222.5 juta berikutan kos operasi naik

 

Walaupun mencatat prestasi lemah,  CGSI tetap mengekalkan saranan "Tambah" bagi TM dengan harga sasaran baru RM8.80, berbanding RM9.50 sebelumnya. 

 

Pemulihan dijangka berlaku pada separuh kedua FY26, selain dividen FY26 yang dijangka 4.1 peratus menjadi faktor sokongan kepada pelabur.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank menjangka EBIT Telekom Malaysia bagi FY26 akan kekal hampir sama seperti FY25, dengan pertumbuhan pendapatan dijangka rendah. 

 

“Syarikat dijangka terus menghadapi kos tinggi berkaitan program VSS, yang memberi kesan kepada keuntungan teras bagi tahun kewangan akan datang.

 

“Oleh sebab itu, kami menurunkan ramalan keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 16% dan 11% untuk mengambil kira kos tambahan yang berterusan,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Walaupun begitu, pengurusan TM yakin bahawa langkah penjimatan kos jangka panjang, termasuk peralihan rangkaian 5G, akan membantu mengurangkan tekanan kewangan pada masa hadapan.

 

 

 

 

 

Maybank IB turut mengekalkan saranan Beli terhadap saham TM walaupun menurunkan harga sasaran daripada RM8.50 kepada RM8.40. Dividen bagi FY26 dijangka sekitar 3.5% yield, menjadikan saham TM tetap menarik bagi pelabur yang mencari pulangan dividen stabil.

 

Prestasi Unifi, perkhidmatan broadband TM, terus menunjukkan pertumbuhan sederhana dengan jumlah pelanggan meningkat kepada 3.22 juta pada akhir 4Q25. Purata pendapatan sebulan (ARPU) bagi pelanggan Unifi berada pada paras RM130 hingga RM137, mencerminkan aliran pendapatan yang stabil daripada segmen broadband syarikat. - DagangNews.com