Untung bersih Telekom Malaysia bagi 4QFY25 merudum ketara kepada RM222.5 juta berikutan kos operasi naik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Telekom Malaysia bagi 4QFY25 merudum ketara kepada RM222.5 juta berikutan kos operasi naik

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 FebTelekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, kepada RM222.5 juta daripada RM730.6 juta pada 4QFY24. 


Kumpulan telekomunikasi tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kejatuhan lebih separuh itu berikutan peningkatan kos operasi syarikat, serta ketiadaan kredit cukai sekali beri.


Pendapatan sesaham (EPS) merosot kepada 5.8 sen daripada 19.04 sen, manakala hasil sebelum faedah dan cukai (EBIT) turun kepada RM215.5 juta berbanding pada suku keempat FY24 ialah RM512.4 juta.


"Penyusutan ini berpunca akibat ketiadaan kredit cukai sekali beri, kos perkongsian rangkaian mudah alih yang tinggi serta kos kakitangan susulan skim pemberhentian sukarela (VSS)," jelas TM.


Bagaimanapun, pendapatan kumpulan itu naik sedikit kepada RM3.26 bilion daripada RM3.1 bilion, disokong prestasi lebih baik segmen 'business-to-consumer' (B2C) dan 'carrier-to-carrier' (C2C).


Tambahnya, segmen B2C berkembang 2.8% kepada RM1.50 bilion dipacu pakej perkhidmatan penumpuan dan kempen peranti, manakala 'business-to-business' (B2B) susut 2.7% kepada RM760.5 juta.

 

Artikel berkaitan: Telekom Malaysia meterai aturan borong 5G MOCN bersama U Mobile, tamatkan akses dengan DNB


TM berkata, keadaan tesebut susulan tumpuan pelanggan terhadap pengoptimuman kos dan perkhidmatan digital, manakala C2C pula melonjak 25.6% kepada RM979.6 juta hasil permintaan lebih tinggi.


"Ini untuk perkhidmatan data dan gentian optik didorong pertumbuhan teknologi global, namun bagi FY25, untung bersih menurun kepada RM1.71 bilion daripada RM2 bilion tahun sebelumnya," jelasnya.


Hasil meningkat kepada RM11.87 bilion berbanding RM11.71 bilion, manakala EBIT bagi tahun kewangan itu berjumlah RM2.03 bilion, dengan dividen interim kedua 14.5 sen dan dividen khas empat sen.


Keadaan ini kata TM, menjadikan jumlah dividen FY25 sebanyak 31 sen sesaham, sama seperti FY24, dan bagi FY26, kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan hasil pada kadar satu digit lebih rendah.


Unjuran EBIT tambah kumpulan berkenaan, masih dikekalkan pada paras seperti FY25, dengan perbelanjaan modal dianggarkan antara 18% hingga 20% daripada pendapatan keseluruhan.


Sementara itu, dalam dagangan di bursa sebelum tengah hari pada 25 Februari, saham TM susut 0.49% kepada RM8.10, menjadikan nilai pasarannya sekitar RM31.09 bilion. - DagangNews.com