Telekom Malaysia meterai aturan borong 5G MOCN bersama U Mobile, tamatkan akses dengan DNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Telekom Malaysia meterai aturan borong 5G MOCN bersama U Mobile, tamatkan akses dengan DNB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 FebTelekom Malaysia Berhad (TM) akan memeterai aturan baharu akses borong teknologi 5G berasaskan Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) bersama U Mobile Sdn Bhd.


Usaha berkenaan jelas kumpulan itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh daya saing perniagaan mudah alih dan mempercepat aspirasi penumpuan syarikat telekomunikasi tersebut.

 

 

 

 

 


Seiring peralihan itu, TM memaklumkan sudah melaksanakan hak kontraknya di bawah Perjanjian Akses 5G sedia ada untuk menamatkan aturan akses borong 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB).


"Tindakan berkenaan adalah selaras dengan terma perjanjian serta tertakluk kepada proses dan keperluan kawal selia," tambah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Amar Huzaimi Md Deris dalam kenyataan.


Menurut beliau, perkhidmatan mudah alih merupakan tonggak penting dalam strategi penumpuan, yang menyepadukan perkhidmatan tetap, mudah alih, kandungan dan rumusan pintar merentas segmen.
 

Amir Huzaimi
AMAR HUZAIMI MD DERIS


Kumpulan itu jelasnya, pengenalan rangka kerja dua rangkaian 5G oleh kerajaan membuka ruang untuk menilai pilihan yang menyokong daya saing jangka panjang serta memperkukuh penawaran konvergens.


Bagaimanapun, Amar Huzaimi menegaskan peralihan perkhidmatan 5G akan dirancang dan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan segala pengalaman pelanggan adalah kekal lancar tanpa gangguan


"Pada masa sama, kami mengiktiraf peranan DNB sebagai perintis pelaksanaan 5G di seluruh negara dan komited terhadap kerjasama industri dalam memajukan ekosistem infrastruktur digital," katanya.

 

 

 

 

 

 


Kumpulan itu tambah beliau, turut menegaskan komitmen untuk merealisasikan aspirasi menjadi 'Digital Powerhouse' menjelang 2030 dengan menawarkan rumusan yang berdaya tahan, dan kompetitif.


Di samping itu, TM bersedia untuk masa hadapan bagi menyokong ekonomi digital negara, merentasi segmen pengguna, perusahaan kecil dan sederhana serta korporat. - DagangNews.com