Ketidaktentuan akibat ketegangan di Timur Tengah punca BNM kekalkan OPR 2.75%, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan akibat ketegangan di Timur Tengah punca BNM kekalkan OPR 2.75%, kata penganalisis

Foto kredit AFP
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — Isu ketegangan geopolitik di Timur Tengah sejak 28 Februari 2026 meningkatkan ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi antarabangsa ketika ini, menurut penganalisis tempatan. 


MBSB Research berkata, faktor itu kemungkinan antara punca Jawatankuasa Dasar Monetori Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan bagi mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.


Keputusan yang diumumkan pada 5 Mac 2026 itu jelas firma tersebut, adalah selari dengan jangkaan pasaran dan mencerminkan pertumbuhan ekonomi dunia serta domestik yang masih lagi berdaya tahan.


"BNM memberi penekanan kepada tahap ketidaktentuan yang lebih tinggi susulan konflik di Timur Tengah, dengan kesannya bergantung kepada tempoh dan tahap ketegangan" kata firma berkenaan.


Pada masa ini jelas MBSB Research, paras OPR semasa dianggap sebagai sesuai serta masih menyokong kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi mengharungi pelbagai cabaran jangka pendek dan sederhana.


Artikel berkaitan: BNM kekalkan OPR pada 2.75%, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026


Di peringkat domestik tambahnya, BNM dinilai sudah menjangkakan momentum Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2026 adalah kekal kukuh didorong oleh pelbagai faktor tempatan sendiri.


Antaranya kata firma penyelidikan itu, tahap permintaan domestik berdaya tahan, keadaan pasaran buruh yang sihat, kemajuan projek berbilang tahun dan pelaksanaan pelbagai pelan induk nasional.


"Konflik di Timur Tengah dan ketidaktentuan perdagangan global pula namun berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan selain risiko pengeluaran komoditi yang lebih lemah," ujar MBSB Research.


Dari sudut inflasi tambahnya, persekitaran harga semasa dijangka kekal sederhana dengan inflasi keseluruhan dan teras masing-masing pada 1.6% dan 2.3% tahun ke tahun (YoY) pada Januari 2026.


BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan kekal terkawal tahun ini, manakala inflasi teras diramal stabil berhampiran purata jangka panjang berikutan tekanan permintaan yang masih sederhana.


BNM

 

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan jangkaan bank pusat tersebut terus mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2026 disokong pertumbuhan ekonomi yang stabil dan paras inflasi terkawal.


"Kami mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang 4.6% pada 2026, dipacu permintaan domestik kukuh walaupun prospek pertumbuhan masih bergantung perkembangan konflik geopolitik global," katanya.


Sementara itu, CGS International (CGSI), menilai hala tuju dasar monetari selepas ini dijangka bergantung kepada perkembangan semasa, khususnya bagaimana konflik di Timur Tengah berkembang.


Firma penyelidikan itu menjangkakan BNM masih lagi mengekalkan kadar OPR pada paras 2.75% sepanjang tahun ini, dengan turut disokong oleh asas ekonomi domestik yang diramalkan kukuh.


Katanya, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia diramal terus positif tahun ini, dibantu kadar pengangguran yang terendah dalam tempoh lebih sedekad serta peningkatan aktiviti pelancongan .

 

PTP


"Dari sudut inflasi, kami menilai tekanan harga dijangka kekal terkawal walaupun kenaikan harga minyak mentah global baru-baru ini boleh memberi tekanan yang bersifat sementara," kata CSGI.


Menurut pengiraannya, jika harga minyak mentah kekal sepanjang tahun, ia boleh meningkatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia kira-kira 15 mata asas, dengan andaian tiada perubahan dasar.


Bagaimanapun, pelbagai inisiatif bantuan kerajaan dijangka membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup isi rumah, walaupun langkah tersebut berpotensi meningkatkan perbelanjaan subsidi kerajaan.


Selain itu, CGSI turut berpandangan yang penggunaan sektor swasta masih belum mencapai potensi penuh walaupun pertumbuhan domestik kekal kukuh, manakala pengguna dilihat lebih berhati-hati.


"Perbelanjaan mungkin sederhana, sekali gus menyebabkan BNM mengambil pendekatan berwaspada sambil menunggu tanda pemulihan penggunaan yang jelas," kata firma itu. - DagangNews.com