KUALA LUMPUR 5 Mac – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% selepas keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam mesyuarat terbaharunya hari ini.
Bank pusat itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira prospek pertumbuhan ekonomi global yang masih disokong oleh permintaan domestik, inflasi yang semakin reda, pelaburan teknologi yang kukuh serta sokongan dasar fiskal dan monetari.
Namun begitu, BNM berkata konflik terkini di Timur Tengah telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global, dengan kesannya bergantung kepada tempoh serta tahap keseriusan konflik tersebut.
Menurutnya, risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan kini meningkat susulan ketegangan geopolitik yang memuncak serta volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global.
Selain itu, kebimbangan terhadap kemungkinan tarif perdagangan yang lebih tinggi serta penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan turut menjadi antara faktor risiko kepada pertumbuhan global.
Ekonomi berkembang 5.2% pada 2025
BNM berkata ekonomi Malaysia berkembang 5.2% pada 2025, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, peningkatan eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta aktiviti pelancongan yang rancak.
Momentum pertumbuhan itu dijangka berterusan pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.
“Guna tenaga, pertumbuhan gaji serta pelaksanaan langkah-langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah,” menurut bank pusat itu.

Selain itu, aktiviti pelaburan dijangka terus berkembang didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor awam dan swasta, pelaksanaan projek awam berskala kecil baharu serta pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan.
Sektor luaran pula dijangka terus mendapat manfaat daripada eksport E&E yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan pelancong antarabangsa.
Masih terdedah ketidaktentuan global
Bagaimanapun, BNM berkata prospek pertumbuhan ekonomi masih terdedah kepada ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah, selain risiko perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Dari segi inflasi, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.6% dan 2.3% pada Januari 2026.
Secara keseluruhan, inflasi dijangka kekal sederhana pada tahun ini walaupun harga komoditi global mungkin mengalami volatiliti berikutan perkembangan geopolitik semasa.
Inflasi teras pula dijangka kekal stabil dan hampir kepada purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam aktiviti ekonomi tanpa tekanan permintaan yang berlebihan.
BNM menegaskan bahawa pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal sesuai dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa serta menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi domestik,” katanya. - DagangNews.com








