KUALA LUMPUR 8 Julai – TA Securities berpandangan kemasukan Sime Darby Property Bhd ke pasaran hartanah premium koridor Kuala Lumpur City Centre (KLCC) mampu mempelbagaikan portfolio syarikat daripada pembangunan bandar baharu dan taman perindustrian kepada projek bernilai tinggi di lokasi bandar utama.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah tersebut memberi Sime Darby Property peluang untuk meneroka segmen hartanah bernilai tinggi yang menawarkan potensi margin lebih menarik, selain mempelbagaikan sumber pertumbuhan syarikat dalam tempoh jangka panjang.
Menurut TA Securities, langkah tersebut merupakan perkembangan strategik penting kerana Sime Darby Property sebelum ini lebih dikenali menerusi pembangunan bandar berskala besar dan aset perindustrian, manakala pendedahan kepada pembangunan premium di pusat bandar Kuala Lumpur masih terhad.
“Peluang pembangunan semula di koridor Jalan Tun Razak-KLCC merupakan aset strategik yang jarang diperoleh, khususnya dengan kedudukan lokasi yang matang, akses pengangkutan yang baik serta permintaan kukuh terhadap produk hartanah premium,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Atas prospek tersebut, TA Securities mengekalkan saranan “Beli” terhadap Sime Darby Property dengan harga sasaran RM2.10 sesaham berbanding harga terakhir RM1.38 mencerminkan potensi kenaikan sekitar 52%.
Melangkah Ke Segmen Bandar Premium
TA Securities berkata, kekuatan utama strategi baharu Sime Darby Property terletak pada kedudukan aset yang berada dalam koridor Jalan Tun Razak-KLCC, salah satu kawasan hartanah paling bernilai di Kuala Lumpur.
Lokasi tersebut dikelilingi pelbagai kemudahan bertaraf premium termasuk Menara Berkembar Petronas, The Exchange 106, Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur, The Exchange TRX, pusat perubatan terkemuka serta kawasan diplomatik.
Selain itu, kemudahan rangkaian pengangkutan menerusi stesen LRT dan MRT Ampang Park memberikan kelebihan kepada pembangunan yang berorientasikan gaya hidup bandar serta mudah diakses
Menurut TA Securities, faktor lokasi dan ekosistem sekitar yang matang memberi asas kukuh kepada Sime Darby Property untuk membangunkan produk premium yang mampu menarik segmen pembeli bernilai tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN: Sime Darby Property ubah Wisma Unirazak menjadi projek pembangunan premium bernilai RM900 juta
Projek RM900 Juta Jadi Pemangkin Baharu
Sime Darby Property menerusi anak syarikat milik penuhnya menerima Surat Tawaran yang mengikat bagi memperoleh aset pegangan bebas seluas 1.46 ekar di Jalan Tun Razak pada harga RM160 juta.
Aset tersebut yang terdiri daripada bangunan pejabat 15 tingkat dirancang untuk dibangunkan semula sebagai projek pembangunan bercampur premium dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM900 juta, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.
TA Securities berkata, projek berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada transformasi portfolio Sime Darby Property dengan membawa syarikat lebih dekat kepada segmen pembangunan bandar berketumpatan tinggi dan bernilai premium.
Berdasarkan anggaran nisbah plot lapan kali ganda serta kecekapan ruang boleh dijual antara 75% hingga 85%, firma penyelidikan itu menjangkakan projek tersebut mampu mencapai harga jualan purata sekitar RM2,100 hingga RM2,400 bagi setiap kaki persegi.
Pengalaman Pembangunan Premium Sokong Keyakinan
Walaupun mengakui pasaran hartanah premium KLCC semakin kompetitif dengan contoh terbaharu ialah UEM Sunrise Bhd menerusi pelantikan EXSIM KLCC untuk membangunkan tapak pegangan bebas Lot 149 seluas 1.6 ekar berhampiran KLCC sebagai projek pembangunan bercampur yang merangkumi hotel, hotel residensi dan pusat beli-belah.
TA Securities tetap positif dan berpandangan Sime Darby Property mempunyai kelebihan menerusi pengalaman membangunkan projek mewah seperti Jendela Residences dan The Ophera di KLGCC.
“Kejayaan projek akan bergantung kepada keupayaan syarikat menghasilkan produk yang mempunyai keunikan tersendiri dari segi konsep, reka bentuk, penjenamaan serta tawaran gaya hidup,” katanya.
Buat masa ini, TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan Sime Darby Property bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 sementara menunggu penyempurnaan urus niaga tersebut.
Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek Sime Darby Property disokong kedudukan bank tanah yang kukuh, saluran pembangunan yang pelbagai serta pertumbuhan pendapatan berulang, yang dijangka menjadi asas kepada pertumbuhan mampan syarikat dalam jangka panjang. - DagangNews.com








