Peningkatan mandat biodiesel kepada B50 di Indonesia pacu prospek sektor perladangan Malaysia, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan mandat biodiesel kepada B50 di Indonesia pacu prospek sektor perladangan Malaysia, kata HLIB

Foto kredit Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia bermula 1 Julai 2026 dijangka menjadi pemangkin utama keuntungan sektor perladangan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Ujar firma penyelidikan tersebut, usaha dilakukan negara jiran itu bakal meningkatkan penggunaan domestik bagi produk sawit, sekali gus mengurangkan secara ketara bekalan di pasaran antarabangsa.

 

Berikutan prospek positif itu, ia menaikkan unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak RM100 satu tan kepada RM4,450 satu tan dan RM4,300 satu tan.

 

"Walaupun sektor ini berdepan kesan El Nino dan gangguan stok baja, kenaikan penggunaan biodiesel Indonesia berpotensi mewujudkan kekurangan bekalan dalam pasaran minyak sawit global," kata HLIB.

 

Menurutnya, fenomena El Nino boleh menjejaskan pengeluaran produk sawit di Malaysia dan Indonesia, walaupun impak terhadap tandan buah segar (FFB) hanya dapat dirasai dalam masa 12 hingga 24 bulan.

 

Pasaran tambah firma itu, kebiasaannya mengambil kira potensi penyusutan pengeluaran lebih awal, terutama jika kekurangan taburan hujan menjadi semakin serius di kawasan utama penanaman sawit.

 

sawit_DagangNews2026

 

HLIB turut menjelaskan, gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz masih berpotensi menjejaskan bekalan baja serta meningkatkan kos pengangkutan meskipun pergerakan kapal mula kembali pulih.

 

"Keadaan ini menyebabkan harga baja kekal tinggi serta melambatkan penghantaran kepada syarikat perladangan, dan meningkatkan kos operasi khususnya dalam kalangan para pekebun kecil," jelasnya. 

 

Dari sudut permintaan, ia menjangka mandat biodiesel B50 mengalihkan banyak pengeluaran MSM dari Indonesia kepada kegunaan biodiesel, sekali gus mengurangkan jumlah eksport negara itu sendiri,.

 

Situasi tersebut kata HLIB, mengetatkan imbangan bekalan bagi memenuhi permintaan tinggi global, dan firma itu percaya, harga MSM kekal kompetitif berbanding minyak kacang soya yang lebih mahal. 

 

Perbezaan besar harga itu dijangka menggalakkan pengimport utama minyak sayuran beralih kepada minyak sawit, sekali gus menjadi faktor sokongan kepada permintaan walaupun harga MSM tinggi.

 

"Justeru kami mengekalkan 'overweight'  terhadap sektor perladangan dengan SD Guthrie Berhad sebagai pilihan utama bersama saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM7.05," tambahnya. - DagangNews.com