Dr Mohd Uzir Mahidin bersara selepas 36 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dr Mohd Uzir Mahidin bersara selepas 36 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin diraikan oleh warga DOSM bersempena persaraan beliau daripada perkhidmatan awam di Putrajaya pada 8 Julai 2026. - Gambar DOSM
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Julai –  Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin secara rasmi bersara selepas 36 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, sekali gus menamatkan hampir sembilan tahun kepimpinan beliau dalam mentransformasikan jabatan itu sebagai institusi data strategik negara.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, persaraan Mohd Uzir berkuat kuasa hari ini selepas beliau dilantik memegang jawatan Ketua Perangkawan Malaysia pada 2017.

 

DOSM berkata Mohd Uzir menerajui transformasi besar jabatan berkenaan daripada sebuah pengeluar statistik rasmi kepada agensi data nasional yang memberi tumpuan kepada penyepaduan data, analitik lanjutan, sains data dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pembuatan dasar berasaskan bukti.

 

Menurut jabatan itu, antara pencapaian terbesar beliau ialah memperkukuh Sistem Statistik Negara menerusi agenda Pengukuhan Sistem Statistik Negara (NSSS), yang meningkatkan penyelarasan serta kualiti statistik rasmi merentasi kementerian dan agensi kerajaan.

 

Xi

 

Xi

 

Memperkasa sistem statistik negara menerusi pendigitalan

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan sepanjang tempoh kepimpinan beliau termasuk penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara di peringkat Persekutuan, negeri serta daerah, pemodenan Akta Perangkaan 1965 bagi disesuaikan dengan era digital, selain usaha membangunkan keupayaan dalam bidang AI dan sains data.

 

DOSM berkata Mohd Uzir turut menerajui usaha memperluas akses awam terhadap statistik rasmi menerusi platform OpenDOSM NextGen, selain perkhidmatan digital seperti MyPAKW dan MyLabourHub.

 

Inisiatif berkenaan membantu meningkatkan keterbukaan akses kepada data serta literasi statistik, di samping memastikan jabatan itu kekal responsif terhadap perubahan teknologi dan keperluan global.

 

Beliau turut memperkenalkan penerbitan statistik yang lebih setempat termasuk Statistik Kawasan Parlimen, Statistik Dewan Undangan Negeri (DUN), MyLocalStats serta keluaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daerah bagi menyediakan data lebih terperinci untuk menyokong perancangan pembangunan wilayah.

 

Sepanjang tempoh kepimpinannya, DOSM turut melaksanakan beberapa projek utama berasaskan data termasuk Hab Pangkalan Data Bersepadu (Padu), Pusat Analitik Data Raya Negara, TaniStats, Kalkulator Jangka Hayat, Kalkulator Punca Kematian serta Papan Pemuka Melangkaui KDNK (Beyond GDP Dashboard).

 

Mengukuhkan peranan Malaysia di peringkat antarabangsa

Mohd Uzir turut mengetuai tiga operasi statistik terbesar negara iaitu Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Banci Pertanian 2024 serta Banci Ekonomi 2026 yang sedang berlangsung.

 

DOSM menyifatkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 sebagai pencapaian penting kerana ia berjaya dilaksanakan menggunakan teknologi digital walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

 

Di peringkat antarabangsa, Mohd Uzir mewakili Malaysia dalam Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2017 dan pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuk Pengerusi Sistem Statistik Komuniti ASEAN serta Pengerusi Majlis Tadbir Urus Institut Statistik Asia dan Pasifik.

 

Di bawah kepimpinannya, Malaysia turut mencatat pencapaian sebagai negara pertama di dunia dalam Open Data Inventory, mencerminkan kemajuan negara dalam keterbukaan data serta liputan statistik.

 

Malaysia juga berjaya menjadi tuan rumah Kongres Statistik Dunia Institut Statistik Antarabangsa pada 2019 serta Forum Statistik ASEAN-Malaysia pada 2025.

 

DOSM berkata Mohd Uzir turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Hari Statistik Negara yang disambut setiap tahun pada 20 Oktober.

 

Xi

 

Melahirkan bakat data dan memperkukuh kapasiti statistik

Beliau turut memberi penekanan terhadap pembangunan bakat menerusi Program Pembangunan Keupayaan Statistik yang berjaya melahirkan 49 saintis data jabatan, selain memperkukuh Institut Latihan Statistik Malaysia sebagai pusat latihan statistik negara.

 

DOSM berkata kepimpinan Mohd Uzir yang berteraskan integriti, profesionalisme dan pembelajaran sepanjang hayat telah meletakkan asas kukuh bagi meneruskan transformasi sistem statistik Malaysia. - DagangNews.com