Sime Darby Property ubah Wisma Unirazak menjadi projek pembangunan premium bernilai RM900 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property ubah Wisma Unirazak menjadi projek pembangunan premium bernilai RM900 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Sime Darby Property Bhd menembusi pasaran hartanah pusat bandar Kuala Lumpur menerusi pembelian Wisma Unirazak pada harga RM160 juta yang akan dibangunkan semula sebagai projek pembangunan bercampur premium dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM900 juta.

 

Pemerolehan itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Property (KLGCC Resort) Sdn Bhd selepas menerima surat tawaran daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hartanah berkenaan merupakan sebuah bangunan pejabat 15 tingkat lengkap dengan parkir bawah tanah yang terletak di atas tanah seluas 1.46 ekar  berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

 

“Bangunan itu kini disewakan sepenuhnya dan menjana pendapatan sewa kasar sekitar RM6.5 juta setahun, dengan Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) sebagai penyewa utama yang menggunakan kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan ruang disewa,” katanya.

 

Setakat 17 Mac 2026, Wisma Unirazak dinilai pada RM165.75 juta, lebih tinggi daripada harga pembelian RM160 juta. 

 

Urus niaga itu dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

 

Pemerolehan Pertama Sime Darby Property di Pusat Bandar Kuala Lumpur

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pemerolehan tersebut adalah kemasukan pertama syarikat ke pasaran hartanah di pusat bandar Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata, lokasi di koridor Jalan Tun Razak-KLCC memberi peluang kepada syarikat untuk membuka nilai jangka panjang daripada tapak strategik yang semakin sukar diperoleh.

 

Projek Bercampur Premium RM900 Juta

“Sime Darby Property bercadang membangunkan kawasan itu sebagai projek pembangunan bercampur bersepadu premium dengan memanfaatkan pengalaman syarikat dalam membangunkan projek berorientasikan gaya hidup.

 

“Sebelum ini, syarikat telah membangunkan beberapa projek ikonik di KLGCC Resort seperti Jendela Residences dan The Ophera yang meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan pembangunan baharu di lokasi tersebut,” katanya.

 

Projek itu dijangka dilancarkan pada 2028 dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.

 

Sementara itu, urus niaga berkenaan diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan kerana PNB dan syarikat induknya, Yayasan Pelaburan Bumiputera mempunyai hubungan dengan AmanahRaya Trustees Bhd. bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB).

 

ASB adalah pemegang saham utama Sime Darby Property dengan pegangan langsung sebanyak 32.7 peratus setakat 30 Jun lalu. - DagangNews.com