Bestari Food rancang IPO di Pasaran Utama, mahu bina kilang baharu tingkatkan kapasiti pengeluaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bestari Food rancang IPO di Pasaran Utama, mahu bina kilang baharu tingkatkan kapasiti pengeluaran

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Pengeluar produk pra-bancuhan makanan, Bestari Food Bhd memfailkan draf prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi memperluaskan operasi dan meningkatkan lagi kapasiti pengeluarannya.

 

Menerusi penyenaraian itu, syarikat yang terkenal dengan produk Crispy Fried Chicken Coating Mix berhasrat menggunakan sebahagian hasil IPO bagi memperoleh tanah, membina kilang pengeluaran baharu, membeli mesin serta peralatan moden, selain memperkukuh usaha pemasaran bagi mengembangkan lagi jenama Bestari.

 

Menurut draf prospektus yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kilang pengeluaran baharu itu akan melengkapkan operasi sedia ada di ibu pejabat Bestari di Telok Panglima Garang, Selangor yang kini beroperasi di premis seluas 67,465 kaki persegi yang disewa daripada pemegang sahamnya, Core Perpetual Sdn Bhd. 

 

Kilang Baharu Tingkatkan Kapasiti Pengeluaran

Sebagai persediaan untuk pertumbuhan jangka panjang, Bestari berkata ia telah mengenal pasti lokasi pilihan bagi pembinaan kilang baharu di Zon Industri Banting dan kini sedang menilai beberapa lot tanah seluas kira-kira 10 ekar di kawasan tersebut.

 

“Pelaburan dalam mesin dan peralatan pula dijangka memberi lonjakan kepada kecekapan operasi syarikat. Antara aset yang akan diperoleh termasuk sistem pencampuran dan pembungkusan bersepadu, sistem penyimpanan bahan mentah secara pukal serta sistem pembungkusan dan penyusunan automatik produk.

 

“Dengan adanya kilang baharu itu kelak, Bestari menjangkakan kapasiti pengeluaran keseluruhan kumpulan akan meningkat dengan ketara, sekali gus membolehkan syarikat memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang,” katanya.

 

Selain memperkukuh kapasiti pengeluaran, syarikat turut merancang memperluaskan portfolio produknya dalam tempoh terdekat menerusi pembangunan campuran tepung berperisa, campuran perasa dan campuran asas makanan bagi pelbagai aplikasi. 

 

Bestari juga akan memperkenalkan perisa serta varian baharu di samping menambah baik formulasi produk sedia ada bagi menarik pelanggan baharu dan meningkatkan pembelian berulang.

 

Produk runcit jenama Bestari diedarkan menerusi pelbagai pasar raya dan saluran peruncitan manakala pembungkusan komersial dibekalkan kepada pengeluar makanan serta pengusaha perkhidmatan makanan seperti hotel, restoran, kafe dan katering.

 

Struktur Saham 

Di bawah cadangan IPO itu, Bestari akan menerbitkan 77.07 juta saham baharu serta menawarkan sehingga 56.25 juta saham sedia ada untuk dijual. Selepas penyenaraian selesai, sebanyak 29.6% daripada modal saham terbitan syarikat akan dimiliki oleh pelabur awam.

 

Core Perpetual Sdn Bhd yang merupakan pemegang saham penjual akan menyaksikan pegangannya susut kepada 70.4% selepas IPO. 

 

Syarikat itu dimiliki oleh Pengarah Urusan Bestari, Lai Kok Siong sebanyak 40%, Lew Tai @ Kong Lew Tai (30%), Ketua Jualan dan Pemasaran, Gabriel Lai Yung Yao (10%), Ketua Pengeluaran, Gary Lai Yung-Hui (10%) serta Lai Jia Maine (10%).

 

Prestasi Syarikat

Dari segi prestasi kewangan, Bestari mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM31.03 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), meningkat hampir dua kali ganda berbanding RM16.54 juta yang direkodkan pada FY2024. 

 

Hasil pula bertambah kepada RM175.32 juta daripada RM160.69 juta sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan perniagaan yang terus kukuh.

 

Syarikat turut menyatakan hasrat untuk mengagihkan sehingga 30% daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebagai dividen tahunan.

 

RHB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com