KUALA LUMPUR 7 Julai - UEM Sunrise Bhd menerima keyakinan positif daripada firma-firma pelaburan ke atas perjanjian hak pembangunan (DRA) bersama EXSIM Development Sdn Bhd yang dijangka membuka nilai RM415 juta daripada tanah strategiknya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Urus niaga itu dilihat sebagai langkah merealisasikan nilai aset yang berkesan, sekali gus memperkukuh keterlihatan pendapatan, mengurangkan risiko pembangunan serta meningkatkan fleksibiliti kewangan syarikat.
Hong Leong Investment Bank Bhd dan CIMB Securities mengekalkan saranan BELI terhadap UEM Sunrise dengan harga sasaran tidak berubah masing-masing pada RM0.92 dan RM0.83 selepas menilai transaksi berkenaan sebagai pemangkin positif kepada prospek syarikat.
Perjanjian DRA itu melibatkan tanah seluas 1.59 ekar milik UEM Sunrise di Jalan Ampang yang akan dibangunkan sebagai projek bercampur merangkumi hotel, kediaman hotel dan pusat beli-belah, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Di bawah perjanjian tersebut, UEM Sunrise akan menerima hak penerimaan terjamin bernilai RM415 juta, selain berpotensi menikmati tambahan nilai menerusi mekanisme perkongsian keuntungan.
UEM Sunrise telah menerima RM41.5 juta atau 10% daripada hak penerimaan terjamin pada 26 Jun 2026, diikuti RM62.3 juta atau 15% pada 3 Julai 2026. Baki RM311.3 juta akan dibayar dalam tempoh tiga bulan, dengan lanjutan sehingga dua bulan dan dikenakan faedah 8% setahun bagi kelewatan pembayaran.

GDV hampir RM2 bilion
HLIB Research berkata kerjasama bersama EXSIM membolehkan UEM Sunrise membuka nilai aset tanpa menanggung risiko pembangunan besar sekiranya projek itu dilaksanakan sendiri.
Firma penyelidikan itu menganggarkan pembangunan tersebut mampu mencapai nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM2 bilion, namun projek berskala besar berkenaan memerlukan perbelanjaan modal tinggi, kepakaran khusus serta sumber pengurusan yang besar bagi memastikan kejayaan pelaksanaan.
HLIB Research menjangkakan transaksi itu menyumbang keuntungan bersih sekitar RM66 juta pada tahun kewangan 2026 (FY2026) dan mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran RM0.92.
Sumbangan ketara kepada pendapatan
CIMB Securities pula berkata hak penerimaan terjamin itu sahaja berpotensi menyumbang kira-kira RM66 juta kepada keuntungan bersih FY2026 UEM Sunrise, bersamaan sekitar 59% daripada unjuran pendapatan teras FY2026 firma tersebut.
Menurut CIMB Securities, urus niaga itu meningkatkan keterlihatan pendapatan UEM Sunrise, selain memberi peluang kepada syarikat menikmati potensi pulangan tambahan menerusi mekanisme perkongsian keuntungan.
Di bawah struktur tersebut, UEM Sunrise berhak menerima 10% daripada keuntungan sebelum cukai yang melebihi RM610 juta, sekiranya pembangunan berkenaan mencatat prestasi lebih kukuh.
Pengukuhan kewangan sokong pertumbuhan jangka panjang
Sementara itu, Public Investment Bank Research berkata langkah merealisasikan nilai tanah tersebut akan mengukuhkan kunci kira-kira UEM Sunrise dengan membolehkan syarikat mengurangkan pinjaman serta menyediakan modal kerja tambahan untuk pembangunan semasa dan akan datang.
Bagaimanapun, Public Investment Bank Research mengekalkan saranan NEUTRAL dengan harga sasaran RM0.60, mengambil kira penilaian saham yang dianggap munasabah pada sekitar 0.4 kali nilai buku, sejajar dengan purata diskaun lima tahun saham tersebut berbanding nilai buku.
Para penganalisis turut melihat urus niaga EXSIM sebagai pengesahan awal terhadap hala tuju strategik baharu UEM Sunrise di bawah kepimpinan baharunya, dengan fokus kepada monetisasi aset, peruntukan modal lebih berdisiplin dan peningkatan keupayaan pelaksanaan.
Dengan saluran pembangunan di Mont Kiara, Kelana Jaya dan Puteri Harbour, selain usaha menghidupkan semula projek Melbourne, UEM Sunrise dilihat berada pada landasan pertumbuhan lebih kukuh menerusi strategi transformasi dan penciptaan nilai jangka panjang. - DagangNews.com








