KUALA LUMPUR 7 Julai - CelcomDigi Berhad berada di landasan untuk merealisasikan penjimatan perbelanjaan operasi (opex) yang lebih besar mulai 2027, didorong penyempurnaan proses integrasi dan naik taraf platform teknologi maklumat (IT), sekali gus dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pendapatan syarikat.
RHB Research berkata, sinergi integrasi dijangka meningkat dengan ketara selepas CelcomDigi melengkapkan naik taraf platform IT pada suku pertama 2027, selain terus mendapat manfaat daripada inisiatif kecemerlangan operasi yang membantu mengawal impak peningkatan kos akibat perkembangan geopolitik.
Katanya, CelcomDigi mengekalkan sasaran pertumbuhan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) FY2026 pada kadar pertumbuhan satu digit rendah, selain menyasarkan penjimatan opex sebanyak RM465 juta tahun ini, dengan RM41 juta telah direkodkan pada suku pertama FY2026.
"Selain itu, syarikat dijangka memperoleh penjimatan kos langsung yang lebih besar apabila trafik rangkaian beralih daripada 4G kepada 5G memandangkan kira-kira 75% trafik pelanggan masih menggunakan rangkaian 4G," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham CelcomDigi dengan harga sasaran (TP) baharu RM3.50 berbanding RM3.60 sebelum ini, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 22% serta hasil dividen hampir 6%.
Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan pendapatan CelcomDigi dijangka meningkat 18.4% pada FY2027 selepas penyusutan 2.2% yang diunjurkan bagi FY2026, dipacu oleh realisasi penjimatan opex yang lebih kukuh serta keupayaan komersial yang dipertingkat menerusi sistem sokongan perniagaan (BSS) baharu.
Risiko Tetap Ada
Katanya, naik taraf BSS yang sedang dilaksanakan akan meningkatkan keupayaan sistem pengebilan dan pengurusan hubungan pelanggan (CRM), sekali gus memberi lebih fleksibiliti dalam strategi penetapan harga dan memperkukuh daya saing syarikat.
Bagaimanapun, RHB Research berkata pelaksanaan projek itu masih berdepan risiko memandangkan ia merupakan komponen terbesar dalam proses penyatuan sistem IT pasca penggabungan CelcomDigi.
"Risiko gangguan rangkaian, penyediaan perkhidmatan dan isu pengebilan yang boleh menjejaskan pengalaman pelanggan tidak boleh diketepikan sepanjang proses migrasi," katanya.
Sementara itu, RHB Research menjangkakan CelcomDigi akan mula mengiktiraf bahagian kerugian Digital Nasional Berhad (DNB) menerusi kaedah perakaunan ekuiti bermula suku ketiga FY2026.
Firma itu menganggarkan DNB mencatatkan kerugian sebanyak RM600 juta bagi FY2026 dan RM500 juta pada FY2027, selain menjangkakan kos akses rangkaian 5G yang lebih tinggi.
Mengambil kira faktor tersebut, RHB menurunkan unjuran pendapatan teras CelcomDigi bagi FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 3.4%, 4.6% dan 3.0%, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh sinergi penjimatan kos operasi.
Menurutnya, penurunan ketara harga saham CelcomDigi sejak awal tahun membuka peluang kemasukan semula kepada pelabur memandangkan profil risiko dan pulangan syarikat kini semakin menarik, dengan saham itu diniagakan pada diskaun kira-kira 23% berbanding purata sejarah EV/EBITDA. - DagangNews.com








