KUALA LUMPUR 7 Julai – Stratus Global Holdings Berhad berada pada kedudukan strategik memanfaatkan situasi peningkatan perbelanjaan modal (capex) industri semikonduktor global, kata RHB Research.
Antaranya dipacu kecerdasan buatan (AI), pusat data (DC) dan permintaan sektor elektrik serta elektronik (E&E), walaupun syarikat masih berdepan cabaran seperti isu kebergantungan kepada pelanggan utama.
Ujarnya, kumpulan itu dijangka meraih RM285 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO), yang sebahagian besar bagi memperluaskan kemudahan pengeluaran, dan membuka pejabat di luar negara.
"Justeru, kami menetapkan nilai saksama (FV) Stratus Global pada RM1.55 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 24 kali unjuran hasil sesaham (EPS) 6.45 sen." jelas RHB Research
Menurutnya, dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan 24% bagi tempoh tiga tahun, saham kumpulan berkenaan dilihat menawarkan penilaian yang menarik kepada pelabur.
Kelebihan daya saing utama terletak pada kepakaran kejuruteraan dyang ibangunkan sejak 1998 dalam rumusan Automated Material Handling System (AMHS) bilik bersih untuk industri semikonduktor global.

Tambah RHB Research, Stratus Global juga memiliki perisian Tool Control System (TCS) dibangunkan secara dalaman, sekali gus membolehkannya menawarkan rumusan secara menyeluruh kepada pelanggan.
"Situasi ini menjana margin kerana hampir seluruh proses reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan ujian dibuat secara dalaman berbanding pesaing yang banyak bergantung kepada sumber luar," katanya.
Dari segi pertumbuhan, kemudahan baharu syarikat di Bayan Lepas, Pulau Pinang dijangka meningkatkan keluasan lantai hingga 200%, dan menaikkan kapasiti hasil tahunan kepada RM1.6 bilion apabila siap.
Pada masa sama ujar RHB Research, Stratus Global merancang pembukaan pejabat jualan dan sokongan kejuruteraan di Jepun, Taiwan, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) bagi memperluaskan kehadirannya.
Setakat 3 Jun 2026, syarikat berkenaan sudah mempunyai buku tempahan yang belum dibilkan bernilai RM108.4 juta, dengan RM75.4 juta dijangka diiktiraf pada FY27, manakala baki RM33 juta pada FY28.
"Kami berpandangan prospek jangka panjang terus disokong oleh pertumbuhan pelaburan global, selain permintaan kukuh yang dipacu AI, dan DC serta Strategi Semikonduktor Nasional," jelas firma itu.
Bagaimanapun, RHB Research mengingatkan risiko tumpuan pelanggan, sifat kitaran industri, turun naik hasil berasaskan projek serta kadar pertukaran asing kekal perlu diberi perhatian. - DagangNews.com








