KUALA LUMPUR 7 Julai – Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor minyak dan gas (O&G) dengan jangkaan perbelanjaan modal (capex) PETRONAS naik pada 2027.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut menilai agenda keselamatan tenaga terus menjadi pemangkin utama industri, meskipun ketegangan di Timur Tengah semakin reda dan harga minyak pula stabil.
Ujarnya, walaupun gencatan senjata dimeterai masih rapuh, pemulihan trafik kapal tangki minyak di Selat Hormuz memberi isyarat ketidaktentuan di rantau itu semakin berkurangan secara berperingkat.
"Pandangan positif sektor O&G tidak lagi bergantung kepada konflik geopolitik, sebaliknya disokong oleh tema pelaburan utama yang kekal relevan dalam apa sahaja senario pasaran semasa," jelas HLIB.
Antaranya, jangkaan kitaran baharu capex PETRONAS menjelang tahun kalendar 2027, yang berpotensi merancakkan aktiviti syarikat penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) tempatan.
Syarikat yang terlibat dalam pembangunan huluan, penyelenggaraan, sokongan marin, fabrikasi dan pembinaan saluran paip dijangka menjadi penerima manfaat jika peningkatan capex itu direalisasikan.

Di samping itu, HLIB berpandangan perbelanjaan pembangunan luar pesisir kekal stabil dengan Asia Tenggara dijangka merekodkan peningkatan sekitar 12% dalam perbelanjaan modal projek medan baharu.
"Keadaan ini mencerminkan keutamaan yang semakin tinggi terhadap pembangunan medan pesisir, serta terus menyokong permintaan infrastruktur termasuk terminal simpanan, dan saluran paip," katanya.
Dari sudut harga, ia menyemak semula andaian purata harga minyak mentah Brent bagi 2026 kepada AS$80 (RM326) setong berbanding AS$90 (RM367), manakala unjuran bagi 2027 dikekalkan AS$75 (RM305).
Meskipun unjuran harga lebih rendah, HLIB percaya asas pertumbuhan sektor O&G masih kukuh kerana dipacu peningkatan pelaburan huluan, agenda keselamatan tenaga serta permintaan infrastruktur.
Sehubungan itu, ia mengekalkan penarafan, dengan Dialog Group Berhad terus menjadi pilihan utama firma tersebut berikutan kedudukannya yang strategik memanfaatkan peningkatan aktiviti pelaburan.
"Kumpulan berkenaan juga diyakini dapat meraih banyak peluang baharu dalam pembangunan industri untuk tempoh beberapa tahun yang akan datang," tambahnya. - DagangNews.com








