KUALA LUMPUR 7 Julai - BM GreenTech Berhad memperkukuh kedudukannya dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi pengambilalihan 100% kepentingan ekuiti dalam NEFIN V Power Sdn. Bhd. (NVP), pemilik hak pembangunan sebuah ladang solar fotovolta (PV) berkapasiti 29.99MWac di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
Syarikat itu berkata, pengambilalihan yang dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Plus Xnergy Holding Sdn. Bhd. (Plus Xnergy), dijangka mewujudkan sumber pendapatan berulang baharu apabila loji solar berkenaan mula beroperasi pada 2027.
Menurutnya, langkah itu juga mengembangkan model perniagaan daripada hanya penyedia perkhidmatan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) kepada pemilik dan pengendali aset tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti.
"NVP telah memperoleh kontrak pembelian tenaga daripada beberapa syarikat Fortune 500 dalam industri semikonduktor dan makanan yang mempunyai sasaran penyahkarbonan, sekali gus menyediakan aliran pendapatan berulang yang lebih stabil kepada kumpulan apabila projek itu mula beroperasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Loji solar berkenaan dijangka menjana kira-kira 60,000 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik setiap tahun serta mengelakkan pelepasan lebih 1.1 juta tan karbon sepanjang tempoh operasi selama 25 tahun.
Strategi Untuk Bergerak Lebih Jauh
Pengarah Urusan Kumpulan BM GreenTech, Chia Lik Khai berkata, pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat untuk bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai dan meningkatkan keterlihatan pendapatan pada masa hadapan.
"Tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti masih berada pada peringkat awal di Malaysia. Dengan memasuki segmen ini sekarang, kami menjadi antara penyedia awal tenaga boleh diperbaharui kepada sektor korporat dan industri, sekali gus membolehkan kami memanfaatkan potensi pertumbuhan jangka panjang," katanya.
Beliau berkata, transaksi itu turut mengukuhkan portfolio penyelesaian tenaga bersih dan teknologi alam sekitar bersepadu BM GreenTech, selain mempercepat transformasi Plus Xnergy menjadi pemain tenaga boleh diperbaharui bersepadu melalui penjanaan, kecekapan dan penyimpanan tenaga.
Pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman menerusi dua Perjanjian Jual Beli (SPA).
Di bawah urus niaga tersebut, Plus Xnergy akan membeli 900,000 saham biasa atau 90% pegangan dalam NVP daripada NEFIN Energy (Malaysia) Sdn. Bhd. pada harga RM3.24 juta, manakala baki 100,000 saham atau 10% akan diperoleh daripada NEFINCO (Malaysia) Sdn. Bhd. pada harga RM360,000.
Bayaran pembelian akan dibuat dalam dua peringkat, iaitu 50% ketika perjanjian ditandatangani dan baki 50% selepas urus niaga dimuktamadkan.
Pemilik dan Pengendali Jangka Panjang Aset Solar
Selepas pengambilalihan selesai, Plus Xnergy bukan sahaja bertindak sebagai kontraktor EPC bagi projek berkenaan, malah akan menjadi pemilik serta pengendali jangka panjang aset solar tersebut.
BM GreenTech berkata, bagi tahun kewangan 2026, portfolio Develop, Build, Own and Operate (DBOO) kumpulan merangkumi 15 aset dengan kapasiti keseluruhan 29MWp, termasuk pemilikan kasar sebanyak 25MWp menerusi sembilan aset yang dipegang melalui usaha sama Plus Xnergy.
Dengan pengambilalihan NVP, jumlah saluran aset tenaga boleh diperbaharui yang menjana pendapatan berulang kumpulan akan meningkat kepada 74MWp.
Sehingga Jun 2026, Plus Xnergy telah membangunkan lebih 510MWp kapasiti solar yang disambungkan ke grid di seluruh negara, menjana lebih 3,579 gigawatt-jam (GWh) tenaga.
Syarikat itu juga terus mengembangkan portfolio penyimpanan tenaga dengan menyiapkan dan melaksanakan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti keseluruhan 100MWh, termasuk projek BESS 20MWh di Perak serta projek solar 36MWp bersama BESS 45MWh di KLIA Aeropolis. - DagangNews.com








