Standard Chartered, BlackRock lancar dana pelbagai aset Asia Pasifik untuk pelanggan kekayaan termasuk Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Standard Chartered, BlackRock lancar dana pelbagai aset Asia Pasifik untuk pelanggan kekayaan termasuk Malaysia

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 7 Julai - Standard Chartered bekerjasama dengan pengurus aset global BlackRock bagi melancarkan dana Signature Select APAC Allocation Plus, iaitu strategi pelaburan pelbagai aset berfokuskan Asia yang direka untuk memberikan pendedahan terpelbagai kepada pelabur dalam pasaran Asia Pasifik.

 

Dana subkategori terbaharu itu dilancarkan di bawah platform Variable Capital Company (VCC) Standard Chartered, dengan BlackRock dilantik sebagai pengurus kecil dana (sub-manager).

 

Dana tersebut direka sebagai rumusan pelaburan sehenti bagi pelabur yang ingin mendapatkan pendedahan kepada pasaran Asia Pasifik menerusi portfolio terpelbagai merangkumi ekuiti, pendapatan tetap dan alternatif cair.

 

Ia menyasarkan untuk memberikan pertumbuhan modal jangka panjang di samping penjanaan pendapatan melalui pelaburan merentasi pelbagai kelas aset dan pasaran dalam rantau berkenaan.

 

Dengan memanfaatkan kepakaran Multi-Asset Strategies & Solutions BlackRock, portfolio itu akan menggunakan pendekatan peruntukan aset dinamik merentasi pasaran Asia Pasifik.

 

Strategi tersebut menggabungkan pandangan ekuiti secara sistematik dengan pemilihan sekuriti pendapatan tetap berasaskan analisis fundamental bagi menyediakan sumber pulangan yang pelbagai merentasi kitaran pasaran berbeza.

 

Ditawarkan kepada pelanggan kekayaan di pasaran utama

Dana Signature Select APAC Allocation Plus akan ditawarkan kepada Pelabur Bertauliah dan Pelabur Profesional menerusi segmen Priority, Priority Private dan Private Banking Standard Chartered di Hong Kong, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jersey, Malaysia, Kenya dan Nigeria.

 

Pasaran tambahan akan diperkenalkan pada peringkat seterusnya.

 

Ketua Global Penasihat dan Pelaburan Terurus, Wealth Solutions Standard Chartered, Sumeet Bhambri berkata, kerjasama dengan BlackRock itu mengukuhkan keupayaan bank berkenaan dalam menawarkan rumusan pelaburan bertaraf institusi kepada pelanggannya.

 

“Dengan menggabungkan platform seni bina terbuka kami bersama keupayaan pelbagai aset global BlackRock, kami dapat menyediakan rumusan bertaraf institusi yang mempunyai kepelbagaian baik kepada pelanggan untuk memanfaatkan peluang di rantau Asia Pasifik,” katanya.

 

Beliau berkata, penambahan dana terbaharu itu turut memperkukuh platform VCC Standard Chartered yang memberi tumpuan kepada penyediaan strategi pelaburan berbeza dan sukar dicapai bagi membantu pelanggan menghadapi persekitaran pasaran yang semakin kompleks, di samping membina portfolio yang lebih berdaya tahan.

 

BlackRock lihat peluang pelaburan menarik di Asia Pasifik

Sementara itu, Timbalan Ketua Asia Pasifik dan Ketua Kekayaan Asia Pasifik BlackRock, Andrew Landman berkata, firma itu melihat peluang besar untuk pelaburan aktif di rantau berkenaan, disokong oleh prospek pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik serta penilaian menarik bagi sebahagian aset Asia.

 

“Bersama Standard Chartered, kami berhasrat membawa kepakaran pelaburan pelbagai aset dan pendekatan pembinaan portfolio berdisiplin bagi membantu pelabur mengakses sumber pulangan yang pelbagai serta membina portfolio yang berdaya tahan merentasi kitaran pasaran,” katanya.

 

Standard Chartered menubuhkan platform VCC pada Jun 2024 bagi memanfaatkan kerjasama dengan pengurus dana terkemuka serta menggabungkan kepakaran mereka dengan pasukan pakar kelas aset global bank tersebut.

 

Platform berkenaan bertujuan menyediakan strategi pelaburan tersuai yang lazimnya sukar diperoleh, khusus untuk pelanggan bank itu.

 

Signature Select APAC Allocation Plus merupakan dana subkategori kelapan yang dilancarkan di bawah platform VCC Standard Chartered dan dana ketiga yang dilancarkan bank itu pada 2026.

 

Pelanggan Malaysia berpeluang mempelbagaikan portfolio

Ketua Wealth dan Perbankan Runcit, Malaysia dan Indonesia, Standard Chartered, Harmander Mahal berkata, dana tersebut mencerminkan tumpuan bank dalam membantu keperluan kekayaan rentas sempadan pelanggan menerusi penyelesaian khusus dan akses kepada pelaburan global.

 

“Sebagai pengurus kekayaan terkemuka di ASEAN, tumpuan kami adalah membantu pelanggan memenuhi keperluan rentas sempadan mereka melalui kepakaran kekayaan, penyelesaian unik dan rangkaian kehadiran meluas kami,” katanya.

 

Beliau berkata, kerjasama dengan BlackRock membolehkan pelanggan di Malaysia mempelbagaikan portfolio mereka dengan lebih luas serta memanfaatkan peluang rentas sempadan bagi mengembangkan, mengurus dan mengekalkan kekayaan mereka. - DagangNews.com