KUALA LUMPUR 7 Julai – Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Safran Helicopter Engines Asia bagi memperluaskan kerjasama strategik ke Brunei Darussalam.
MoU berkenaan menjadi rangka kerja untuk kedua-dua pihak meneroka peluang baharu di Brunei, susulan kerjasama erat yang telah terjalin selama lebih 15 tahun di Malaysia dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan enjin helikopter.
GTA berkata, sejak 15 tahun lalu, ia telah berperanan sebagai Pusat Penyelenggaraan Bertauliah bagi Safran Helicopter Engines di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan teknikal, selain menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri aeroangkasa tempatan.
“Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan meneruskan proses kelayakan, mendapatkan kelulusan serta melaksanakan proses kontrak yang diperlukan bagi menyokong cadangan pengembangan aktiviti pengedaran yang diberi kuasa dan sokongan pelanggan GTA ke Brunei Darussalam.
“Bagaimanapun, sebarang aktiviti masa depan di negara itu masih tertakluk kepada pemenuhan syarat yang dipersetujui serta pemeteraian perjanjian muktamad antara kedua-dua pihak,” kata GTA dalam satu kenyataan.
Kukuhkan Peranan Sebagai Penyedia Sokongan Aeroangkasa Serantau
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Datuk Mohd Radzi berkata, MoU itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat untuk memperluaskan jejak operasinya di rantau ini.
Beliau berkata, hubungan kukuh yang dibina bersama Safran Helicopter Engines Asia di Malaysia menjadi asas kepada langkah seterusnya untuk membawa kerjasama itu melangkaui pasaran domestik.

“Perkembangan ini mencerminkan cita-cita GTA untuk menjadi sebuah syarikat sokongan penerbangan khusus dengan keupayaan teknikal yang kukuh, sambil terus memberikan standard sokongan dan perkhidmatan tertinggi kepada pelanggan.
“Kerjasama ini turut menyokong strategi jangka panjang GTA untuk mengembangkan kehadiran serantau menerusi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa serta mengukuhkan kedudukan sebagai rakan industri yang dipercayai oleh pengeluar peralatan asal (OEM) aeroangkasa,” katanya.
Kerjasama strategik itu juga mencerminkan keyakinan bersama yang dibina hasil lebih sedekad kerjasama antara GTA dan Safran Helicopter Engines Asia, selain membuka ruang kepada penerokaan peluang baharu dalam industri aeroangkasa Asia Tenggara.
Sokong Pertumbuhan Industri Aeroangkasa Malaysia
Safran Helicopter Engines Asia yang berpangkalan di Singapura merupakan hab serantau bagi Safran Helicopter Engines yang menyokong lebih 200 pengendali dan lebih 1,100 enjin helikopter yang beroperasi di 19 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Korea Selatan dan Taiwan.
Sementara itu, GTA merupakan syarikat sokongan penerbangan khusus di Malaysia yang beroperasi dari Pusat Helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan kepakaran dalam perkhidmatan MRO bagi enjin helikopter, pesawat sayap tetap, alat ganti serta komponen berkaitan.
Syarikat itu memberi perkhidmatan kepada pelanggan dalam sektor penerbangan yang menuntut tahap kecekapan, keselamatan dan kebolehpercayaan tinggi termasuk pengendali penerbangan, pelanggan berkaitan MRO serta sektor pertahanan, dengan sokongan kepakaran teknikal dan hubungan strategik bersama rakan industri aeroangkasa.
Kerjasama GTA dan Safran Helicopter Engines Asia ini dijangka menyokong pertumbuhan berterusan industri aeroangkasa Malaysia, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab aeroangkasa serantau melalui pembangunan keupayaan teknikal dan jaringan kerjasama antarabangsa. - DagangNews.com








