Kes pecah amanah: Mahkamah Sesyen tolak permohonan DNAA pemilik lebuh raya MEX, Abu Sahid Mohamed - Sumber | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kes pecah amanah: Mahkamah Sesyen tolak permohonan DNAA pemilik lebuh raya MEX, Abu Sahid Mohamed - Sumber

Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 Sept — Permohonan pemilik lebuh raya Maju Expressway (MEX), Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan isterinya, Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, mendapatkan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) berhubung pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram ditolak Mahkamah Sesyen.

 

Menurut sumber, permohonan itu dibuat pihak pembelaan susulan dakwaan pendakwaan lewat menyerahkan dokumen penting kepada pihak pembelaan, walaupun kes berkenaan telah melalui tujuh pengurusan kes sejak pertuduhan difailkan.

 

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin menolak permohonan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd berkenaan dan pasangannya serta menetapkan 20 November depan untuk pengurusan kes.

 

 

 

 

 

 

Tambah sumber, pada tarikh berkenaan, pihak pendakwaan akan mengemukakan senarai saksi sebelum mahkamah dapat menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.

 

Peguam bela, Datuk Jasbeer Singh berhujah, anak guamnya sudah didakwa pada 8 September 2025 dan kini hampir setahun berlalu, namun penyerahan dokumen masih lagi belum selesai.

 

Menurut beliau, pihak pembelaan telah melalui tujuh sesi pengurusan kes bagi mendapatkan dokumen berkenaan, menyebabkan pertuduhan terus “tergantung” ke atas anak guamnya.

 

Maju Abu Sahid_Bernama
Foto BERNAMA

 

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif namun berkata dokumen serta perkara utama kes tidak berubah, manakala isu yang masih belum selesai hanyalah proses memuktamadkan baki dokumen.

 

Beliau dipetik sumber berkata pendakwaan menyerahkan lima jilid dokumen kepada pihak pembelaan, menjadikan keseluruhan 23 jilid dokumen telah diserahkan setakat ini, termasuk 18 jilid yang diberikan sebelum ini.

 

Abu Sahid berdepan dengan lima pertuduhan CBT membabitkan lebih RM458.5 juta wang syarikat tersebut yang diamanahkan kepadanya, selain sejumlah 13 pertuduhan pengubahan wang haram.

 

 

 

 

Sementara itu, Noor Azrina pula didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM67.14 juta ke dalam akaun banknya daripada akaun bank Abu Sahid.

 

Mahkamah turut menjelaskan perbezaan DNAA dengan pelepasan yang membawa kepada pembebasan (DAA), apabila DNAA membolehkan seseorang yang didakwa untuk didakwa semula bagi kesalahan sama pada masa depan, manakala DAA menghalang pertuduhan semula bagi kesalahan sama. - DagangNews.com