Cagamas perkenal skim gadai janji baharu bantu warga emas jana pendapatan daripada nilai rumah tanpa jual kediaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cagamas perkenal skim gadai janji baharu bantu warga emas jana pendapatan daripada nilai rumah tanpa jual kediaman

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – Cagamas Bhd, perbadanan gadai janji nasional Malaysia melancarkan Skim Saraan Bercagar Bertempoh (SSBT) bagi membantu pemilik rumah warga emas mendapatkan sumber pendapatan tambahan dengan memanfaatkan nilai hartanah yang dimiliki.

 

Skim berkenaan membolehkan pemilik rumah berumur antara 60 hingga 70 tahun menukar nilai ekuiti rumah mereka kepada aliran pendapatan secara berkala tanpa perlu menjual kediaman tersebut.

 

Menerusi SSBT, pemilik rumah boleh menerima bayaran pendahuluan serta memilih tempoh bayaran tetap mengikut keperluan masing-masing.

 

Kuala Lumpur Jadi Projek Perintis

Skim itu akan diperkenalkan secara berperingkat dengan Lembah Klang menjadi lokasi pelaksanaan fasa pertama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Kameel Abdul Halim berkata SSBT merupakan penyelesaian yang tepat pada masanya bagi menangani cabaran kewangan golongan warga emas susulan perubahan demografi Malaysia yang semakin menua.

 

Beliau berkata, skim itu diwujudkan bagi membantu pesara dan warga emas memperkukuhkan daya tahan kewangan jangka panjang khususnya bagi mereka yang mempunyai aset hartanah tetapi berdepan kekurangan aliran tunai selepas bersara.

 

“Dengan membolehkan warga emas menukar nilai rumah mereka kepada bayaran bulanan tetap untuk tempoh tertentu tanpa perlu menjual hartanah, SSBT menyokong kehidupan persaraan yang lebih terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Negara Menua

Malaysia kini dikategorikan sebagai negara menua apabila sekurang-kurangnya 7% daripada jumlah penduduk berumur 65 tahun dan ke atas. 

 

Jumlah golongan dalam kategori umur itu dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2045, menjadikan Malaysia sebuah negara berstatus masyarakat tua.

 

Dalam pada itu, Cagamas berkata pelancaran SSBT mengambil kira keadaan semasa apabila empat daripada 10 warga emas di negara ini hidup dalam kemiskinan relatif, manakala majoriti rakyat Malaysia masih berdepan cabaran untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi.

 

Melalui konsep gadai janji itu, pemilik rumah masih boleh mendiami kediaman mereka sepanjang tempoh skim berkenaan, namun nilai rumah tersebut digunakan sebagai cagaran bagi mendapatkan pembayaran berkala.

 

Apabila tempoh bayaran SSBT berakhir, pemilik rumah atau waris mempunyai beberapa pilihan termasuk menjual hartanah berkenaan atau membuat bayaran balik kepada Cagamas sekiranya mahu mengekalkan pemilikan rumah tersebut. - DagangNews.com