Jumlah kontrak diraih Sunway Construction cecah RM4.3 bilion, penuhi 72% sasaran 2026 - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah kontrak diraih Sunway Construction cecah RM4.3 bilion, penuhi 72% sasaran 2026 - Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 JulaiSunway Construction Group Berhad (SunCon) sudah berjaya meraih kontrak baharu berjumlah RM4.3 bilion setakat tahun ini, sekali gus memenuhi 72% daripada sasaran 2026.

 

Menurut Phillip Capital, pencapaian itu mengukuhkan prospek pertumbuhan, dipacu ledakan pembinaan pusat data (DC), walaupun pengiktirafan keuntungan bagi tahun ini dijangka mungkin lebih perlahan.

 

Jumlah kontrak baharu itu jelasnya, meningkatkan buku tempahan terkumpul syarikat tersebut kepada RM8.8 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tempoh sederhana.

 

"Kira-kira 67% daripada buku tempahan SunCon dijana projek DC, dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara penerima manfaat utama pertumbuhan pesat industri itu di Malaysia," tambahnya.

 

Ujar Phillip Capital, kumpulan itu melaksanakan 10 pakej projek DC termasuk pembinaan di Serendah, kerja-kerja K2 Building 4, projek JHB1X0, JHB01 serta beberapa pakej sebagai kontraktor am.

 

Prospek penambahan kontrak kekal positif dengan jumlah bidaan bernilai RM12 bilion daripada enam pelanggan sedia ada dan satu pelanggan baharu, melibatkan pakej susulan, serta pemasangan dalaman.

 

Sunway Construction_DagangNews2026

 

Jelasnya, SunCon turut meneroka pengumuman pelaburan tambahan RM12 bilion oleh AirTrunk di Johor yang menambah kapasiti lebih 280MW serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau.

 

"Kami menganggarkan pelaburan itu bernilai RM9.8 bilion, dengan syarikat ini berpeluang memperoleh kontrak susulan berdasarkan kepada rekod prestasi baik dengan pelanggan," kata Phillip Capital.

 

Ia namun menjangka prestasi keuntungan bagi 2026 lebih tertumpu pada separuh kedua kerana sekitar 50% buku tempahan masih berada pada peringkat awal selain projek teras masih belum menjana hasil.

 

Keuntungan SunCon jelasnya, dijangka disokong menerusi sumbangan projek DC di Serendah, selain isu kemajuan projek JHB01 dan Shell 1 serta penghantaran produk pratuang yang berterusan tahun ini.

 

Sehubungan itu, Phillip Capital mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan teras kumpulan berkenaan sebanyak 3% selama tempoh tiga tahun kewangan dari 2026 hingga 2028.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dan harga sasaran (TP) tidak berubah RM7.83 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 22 kali bagi unjuran hasil 2027," katanya. - DagangNews.com