KUALA LUMPUR 27 Feb – RHB Research menjangkakan Eastern & Oriental Berhad akan terus mencatat pertumbuhan pendapatan dan keuntungan bersih yang stabil dalam tiga tahun akan datang, disokong oleh deretan projek yang kukuh serta jualan belum direkodkan yang tinggi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan cadangan Beli dengan sasaran harga RM1.17, menawarkan potensi kenaikan 57% daripada harga semasa RM0.75.
“Prestasi syarikat pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) melebihi jangkaan, dengan hasil meningkat kepada RM243.9 juta, naik 19.4% QoQ dan 45.4% YoY. Keuntungan teras tanpa mengambil kira kerugian forex tidak direalisasi berjumlah RM98.7 juta, naik 49.5% QoQ dan 107.4% YoY.
“Jumlah jualan hartanah bagi 9 bulan pertama FY26 mencecah RM854 juta, meningkat 25.2% YoY, didorong oleh jualan projek Pulau Andaman dan pelancaran komersial Laman Embun di Elmina.
“Jualan belum direkodkan pula meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM1.36 bilion pada 2QFY26, meningkat 10.3% QoQ, menunjukkan aliran tunai masa depan yang kukuh,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Projek Laman Embun memainkan peranan utama dalam pencapaian suku terkini, manakala Avea Fasa 1 di Pulau Andaman pula menyasarkan pembeli muda dengan harga purata RM1,200 sekaki persegi. Lebih 30% unit projek ini telah terjual setakat ini.
Dalam usaha mengekalkan momentum pertumbuhan, Eastern & Oriental Berhad melancarkan projek perumahan Seri Embun Phase 1 di Elmina pada Februari, yang merangkumi 185 unit tiga tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM330 juta. Bagaimanapun, jualan projek ini dilaporkan lebih perlahan berbanding jangkaan kerana persaingan daripada pemaju lain di kawasan berdekatan.
Pengurusan Eastern & Oriental mensasarkan pelancaran projek bernilai RM1 bilion setahun, dengan projek FY27 termasuk 16A2, sebuah kondominium, serta rumah mampu milik bertingkat tinggi di Pulau Andaman. Langkah ini dijangka menyokong pendapatan syarikat dalam tempoh tiga tahun akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Eastern & Oriental Berhad melonjak 117% kepada RM71.8 juta pada 3QFY2026
Dari segi kewangan, RHB Research menaikkan unjuran keuntungan bersih berulang bagi FY26–FY28 masing-masing sebanyak 14%, 14% dan 15% berikutan prestasi kukuh 9MFY26.
EPS Eastern & Oriental dijangka meningkat daripada 0.12 sen pada FY26F kepada 0.13 sen pada FY28F, iaitu peningkatan 8.3%.
Margin kasar FY26F Eastern & Oriental pula dijangka kekal tinggi pada 53.9%, manakala margin keuntungan bersih pula pada 31.9%. Nisbah P/E pada FY26F berada pada 6.09 kali, menunjukkan saham kini diniagakan pada harga yang rendah berbanding nilai keuntungan sebenar.
Eastern & Oriental juga mengisytiharkan dividen interim 1 sen bagi 3QFY26, bersamaan dengan pembayaran dividen FY25, menjadikan dividen yield dijangka antara 1.3% hingga 2.7% bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Dari segi tahap hutang, nisbah hutang bersih kepada ekuiti Eastern & Oriental Berhad meningkat sedikit kepada 0.73 kali berbanding 0.64 kali pada suku sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 14.1% berbanding suku sebelumnya, disebabkan pengambilan pinjaman baharu untuk menampung kos pembinaan dan kerja penambakan tanah.
Dalam aspek ESG, Eastern & Oriental Berhad mencatatkan skor keseluruhan 2.9 daripada 4, dengan pencapaian Platinum Provisional GreenRE bagi projek di Andaman dan penyertaan dalam FTSE4Good Index serta FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah Index pada Disember 2024. Program komuniti yang sebelum ini terganggu akibat pandemik mula dijalankan semula.
RHB Research turut menekankan risiko utama Eastern & Oriental termasuk kelewatan transaksi tanah dan kemungkinan pasaran hartanah lebih lemah daripada jangkaan, yang boleh menjejaskan aliran tunai dan jualan projek. - DagangNews.com








