KUALA LUMPUR 26 Feb – Eastern & Oriental Berhad (E&O) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 117% bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026) disokong oleh pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan.
Keuntungan selepas cukai (PAT) pemaju hartanah itu melonjak kepada RM71.8 juta berbanding RM33.1 juta pada tempoh sama tahun lalu, mencerminkan pertumbuhan hampir dua kali ganda tahun ke tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hasil yang diperolehi ialah sebanyak RM243.9 juta, meningkat 45% berbanding RM167.7 juta pada tempoh sama tahun lalu manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat 89% kepada RM86 juta.
“Prestasi lebih kukuh ini didorong oleh sumbangan berterusan daripada segmen hartanah yang kekal menjadi pemacu utama pendapatan dan keuntungan kumpulan.
“Tanpa mengambil kira kesan pertukaran mata wang yang belum direalisasikan, keuntungan bersih berulang kumpulan bagi suku tersebut meningkat kepada RM98.7 juta berbanding RM47.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY2026), E&O merekodkan hasil sebanyak RM631.8 juta, meningkat 25% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya dalam makluman tersebut
PBT bagi tempoh tersebut meningkat 53% kepada RM220.4 juta, manakala PAT naik 65% kepada RM177.4 juta, mencerminkan momentum pertumbuhan yang konsisten.
Segmen hartanah menyumbang RM547.6 juta kepada hasil kumpulan dalam tempoh sembilan bulan itu, meningkat 29% tahun ke tahun, dengan keuntungan operasi melonjak 42% kepada RM207.0 juta.
Setakat tahun kewangan ini, jualan hartanah kumpulan mencecah RM853.9 juta, didorong permintaan yang menggalakkan bagi projek di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Jualan belum dibil kekal kukuh pada RM1.5 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang mampan untuk suku-suku akan datang.
Lembaga pengarah turut mencadangkan dividen interim sebanyak 1.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, dengan tarikh pembayaran akan diumumkan kelak.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, prestasi suku tersebut mencerminkan permintaan berterusan terhadap penawaran kediaman kumpulan, termasuk projek Laman Embun yang dilancarkan pada November 2025 dan telah habis terjual.
Beliau berkata, kumpulan akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan proaktif dengan meneroka peluang strategik baharu bagi memastikan saluran pembangunan projek ikonik kekal kukuh serta mampu menjana nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan. - DagangNews.com








