KUALA LUMPUR 24 Julai - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu Permodalan Nasional Bhd. (PNB) telah menyalurkan dana berjumlah RM20.3 juta kepada FashionValet Sdn. Bhd. menerusi dua transaksi berasingan pada tahun 2018.
Penolong Pengurus Bank Maybank cawangan Jalan Tun Razak, Shamsiah Musa, berkata berdasarkan penyata akaun Maybank milik PNB, terdapat dua transaksi berjumlah RM20,318,510 yang dipindahkan kepada FashionValet masing-masing pada 4 Jun 2018 dan 20 Disember 2018.
Beliau yang merupakan saksi pendakwaan kedua dalam perbicaraan membabitkan pengasas bersama FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, mengesahkan transaksi pertama melibatkan RM11,953,509 dibuat melalui borang pemindahan bank.
"Saya mengesahkan bahawa pada 4 Jun 2018 terdapat satu transaksi berjumlah RM11,953,509 dengan keterangan 'MISC NON CASH DEBIT N1/FASHION VALET SD* 1493155T000002 FUND TRF TO PUBLIC B'.
"Pemindahan itu dilakukan melalui borang bank yang diisi oleh PNB sebelum diuruskan secara kaunter oleh pihak bank. Bagi transaksi ini, ia memerlukan kelulusan daripada penandatangan yang diberi kuasa," katanya lapor The Star.
Menurut Shamsiah, akaun bank PNB mempunyai 22 penandatangan yang diberi kuasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi transaksi berjumlah RM8,365,001 dilakukan pada 20 Disember 2018 daripada akaun Maybank milik PNB ke akaun Public Bank milik FashionValet.
Katanya, transaksi kedua itu dibuat secara dalam talian oleh PNB tanpa melibatkan pihak bank.
"Bagi transaksi dalam talian, Maybank tidak perlu membuat pengesahan kerana akaun tersebut telah mempunyai penandatangan yang diberi kuasa," katanya.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk M. Athimulan, Shamsiah mengesahkan tiada sebarang arahan daripada PNB untuk membekukan atau mengenakan sekatan terhadap dana yang dipindahkan kepada FashionValet.
Beliau turut bersetuju berdasarkan rekod bank, semua transaksi melibatkan dana PNB diproses secara sah, telus serta mematuhi piawaian dan prosedur perbankan.
Vivy dan Fadzarudin kini berdepan pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan dana pelaburan sebanyak RM8 juta daripada Khazanah Nasional Bhd. dan PNB.
Mereka didakwa, selaku pengarah FashionValet, telah secara tidak jujur membuat pembayaran RM8 juta daripada FashionValet kepada 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan Public Bank di Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad akan bersambung pada 17 Ogos 2026. - DagangNews.com








