Persaingan sengit harga dikhuatiri tekan margin syarikat sektor automotif pada 2H26, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persaingan sengit harga dikhuatiri tekan margin syarikat sektor automotif pada 2H26, kata TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Julai – Margin syarikat sektor automotif dijangka terus terjejas akibat persaingan harga yang semakin sengit sepanjang tempoh separuh kedua 2026 (2H26), menurut analisis TA Securities.

 

Permintaan namun kekal kukuh, dan berdasarkan penilaian itu, firma penyelidikan tersebut menaikkan unjuran jumlah volum industri (TIV) 2026 kepada 790,000 unit berikutan prestasi jualan yang stabil.

 

Ujarnya, walaupun terus disokong pelancaran banyak model baharu, dan promosi agresif kenderaan elektrik (EV), tekanan terhadap margin industri pula dijangka berterusan susulan isu persaingan harga.

 

"TIV pada Jun 2026 naik 9.6% kepada 67,900 unit berbanding Mei 2026 berikutan pemulihan permintaan selepas musim perayaan, dan pertumbuhan kukuh jualan kenderaan penumpang," kata TA Securities.

 

Bagi tempoh separuh pertama 2026, TIV meningkat 2.6% kepada 385,400 unit dengan jualan kenderaan penumpang berkembang 3.7%, dan mengimbangi penyusutan 11.2% dalam segmen kenderaan komersial.

 

Jenama nasional terus menguasai pasaran pada Jun apabila jualan Perodua naik 12.4% kepada 27,500 unit, manakala Proton mencatatkan jualan 15,500 unit disokong permintaan terhadap model baharu.

 

sektor automotif_DagangNews2026

 

Jelas TA Securities, dalam enam bulan pertama 2026 (1H26), Proton muncul penyumbang utama dengan jualan meningkat 40.5% kepada 98,000 unit, mengatasi Perodua yang susut 4.7% kepada 158,300 unit.

 

"Bagi jenama bukan nasional, jualan bagi Jun 2026 pulih 20% berbanding bulan sebelumnya, didorong pembelian Honda, BYD, BMW, Volkswagen dan Toyota, tetapi prestasi pada 1H26 masih lemah," katanya.

 

Ia turut menyatakan penggunaan EV terus berkembang apabila jualannya melonjak 105.7% kepada 26,200 unit separuh pertama 2026, menyumbang 6.8% daripada keseluruhan TIV berbanding 3.4% setahun lalu.

 

Justeru setelah diambil kira prestasi semasa, TA Securities menaikkan unjuran TIV 2026 daripada 750,000 unit sebelum ini, dengan andaian TIV 2H26 hanya jatuh 9.1% berbanding tempoh sama 2025.

 

Sejajar dengan semakan tersebut, firma penyelidikan itu turut menaikkan penarafan ke atas sektor automotif kepada 'neutral' daripada 'underweight' sebelum ini berikutan isu tekanan margin.

 

"Kami menaikkan saranan Sime Darby kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.16, namun 'jual' terhadap Bermaz Auto (TP 89 sen) dan MBM Resources (TP RM4.46)," tambahnya. - DagangNews.com