CIMB Securities turunkan unjuran pendapatan CTOS selepas keputusan 1HFY26 di bawah jangkaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB Securities turunkan unjuran pendapatan CTOS selepas keputusan 1HFY26 di bawah jangkaan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Julai – CIMB Securities menurunkan unjuran pendapatan CTOS Digital Bhd bagi tempoh FY2026 hingga FY2028 selepas prestasi kewangan syarikat bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY2026) berada di bawah jangkaan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan CTOS mampu kembali mencatat pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) yang positif pada FY2026, didorong peningkatan kecekapan operasi serta sumbangan yang lebih kukuh daripada perniagaan luar negara.

 

Dalam nota penyelidikannya, firma penyelidikan itu berkata, unjuran EPS bagi FY2026 hingga FY2028 telah dikurangkan antara 7% hingga 11%.

 

"Walaupun keputusan 1HFY2026 lebih rendah daripada jangkaan, kami menjangkakan CTOS akan kembali mencatat pertumbuhan EPS yang positif pada FY2026 hasil penambahbaikan kecekapan operasi dan sumbangan lebih besar daripada operasi luar negara," katanya.

 

Pertumbuhan FIC Lebih Perlahan

Menurut firma itu, semakan menurun berkenaan dibuat berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam segmen institusi kewangan dan korporat (FIC) serta segmen komersial, selain mengambil kira kesan daripada cadangan pelupusan pegangan dalam Juris Technologies Sdn. Bhd.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), CTOS merekodkan pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 14.5% suku ke suku.

 

Prestasi tersebut disokong oleh peningkatan sumbangan daripada syarikat bersekutu kepada RM8.4 juta, berbanding RM6.3 juta pada suku pertama, selain disiplin kawalan kos yang lebih baik.

 

Menurut CIMB Securities, bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu meningkat kepada RM14.7 juta pada separuh pertama FY2026 berbanding RM11.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

"Peningkatan itu didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada Juris serta pendapatan yang stabil daripada RAM selepas penggunaan kaedah perakaunan ekuiti. Hasilnya, keuntungan bersih CTOS meningkat 18.9% tahun ke tahun," katanya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan CTOS akan mengagihkan 49% daripada hasil pelupusan pegangan dalam Juris sebagai dividen khas.

 

Menurutnya, pembayaran dividen khas itu berpotensi mencecah sehingga 1.07 sen sesaham, bersamaan hasil dividen sekitar 1.6%.

 

CTOS juga sedang menilai beberapa pilihan bagi memaksimumkan nilai pelaburannya dalam Juris, termasuk menjual pegangan tambahan kepada pihak ketiga atau meneruskan cadangan penyenaraian Juris dalam tempoh 12 hingga 18 bulan selepas fasa pertama transaksi selesai, yang dijangka menjelang akhir Julai 2026.

 

Bagaimanapun, CIMB Securities berkata pelupusan tersebut dijangka memberi sedikit kesan kepada prestasi kewangan kumpulan.

 

"Kami menganggarkan transaksi itu boleh mengurangkan keuntungan bersih FY2026 kira-kira 1.5%, namun prospek jangka sederhana CTOS masih disokong oleh peningkatan kecekapan operasi dan pertumbuhan sumbangan daripada pasaran luar negara," katanya. - DagangNews.com