KUALA LUMPUR 24 Julai – YNH Property Berhad berjaya meredakan kebimbangan terhadap isu cukai melibatkan anak syarikat milik penuhnya, YNH Construction Sdn Bhd daripada diisytiharkan muflis.
Ia susulan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meluluskan penyelesaian pembayaran baharu, sekali gus tiada perintah penggulungan dikeluarkan, serta memperoleh pengecualian penalti cukai RM1.71 juta.
Kumpulan berkata, agensi itu memberi kelulusan rasmi secara bertulis terhadap pelan penyelesaian yang disemak semula pada 23 Julai 2026 berikutan proses rundingan berterusan antara kedua-dua pihak.
"Di bawah pelan yang diluluskan, baki liabiliti cukai YNH Construction berjumlah RM5.16 juta akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 10 September 2026," maklum YNH Property kepada Bursa Malaysia.
Selain itu ujarnya lagi, ketika prosiding di Mahkamah Tinggi pada 16 Julai 2026, tiada perintah penggulungan dibuat ke atas subsidiari tersebut walaupun petisyen penggulungan sebelum ini difailkan oleh LHDN.
Mahkamah jelas kumpulan berkenaan, turut menetapkan 27 Oktober 2026 sebagai tarikh pendengaran seterusnya sementara menunggu penyelesaian sepenuhnya mengikut jadual pembayaran dipersetujui.

Pada masa sama kata YNH Property, LHDN bersetuju mengetepikan kenaikan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 berjumlah RM1.71 juta, tertakluk kepada pematuhan jadual pembayaran diluluskan.
"Lembaga Pengarah menyifatkan, penyelesaian ini menyediakan laluan tersusun bagi menyelesaikan isu dengan keutamaan diberikan kepada pematuhan penuh terhadap jadual pembayaran," tambahnya lagi.
Pengecualian bersyarat terhadap penalti cukai itu turut mengurangkan keseluruhan komitmen kewangan kumpulan berkenaan sekiranya kesemua syarat penyelesaian dipenuhi mengikut tempoh ditetapkan.
YNH Property turut menjelaskan ia tidak mengeluarkan kenyataan sejurus selepas prosiding mahkamah pada 16 Julai 2026 kerana pelan penyelesaian disemak masih tertakluk kepada kelulusan muktamad.
Justeru, selepas menerima dan mengesahkan surat kelulusan rasmi LHDN pada 23 Julai 2026, syarikat berpandangan sudah tiba masa untuk memberi maklumat yang lengkap kepada para pemegang saham.
"Kami menegaskan komitmen melengkapkan penyelesaian liabiliti mengikut jadual dipersetujui dan akan membuat pengumuman lanjut jika ada perkembangan berkaitan isu ini," katanya. - DagangNews.com








