Honda Malaysia labur RM14 juta pasang sistem solar di kilang Melaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Honda Malaysia labur RM14 juta pasang sistem solar di kilang Melaka

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai – Honda Malaysia melabur kira-kira RM14 juta untuk memasang sistem tenaga solar pertama di kilang Alor Gajah, Melaka sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan pembuatan mampan serta menyokong sasaran neutral karbon bagi semua produk dan aktiviti korporat menjelang 2050.

 

Inisiatif itu melibatkan pemasangan kira-kira 8,960 panel solar di bumbung kilang dengan kapasiti keseluruhan melebihi 5.6 megawatt (MW) yang membolehkan syarikat menjana sekitar 7,042 megawatt-jam (MWh) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun.

 

Honda Malaysia berkata, penggunaan tenaga solar itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 4,584 tan setahun, bersamaan kira-kira 10% daripada jumlah pelepasan karbon keseluruhan operasi kilang, selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber elektrik konvensional.


Teknologi Penyimpanan Tenaga Tingkatkan Kecekapan Operasi

Selain sistem fotovolta suria (Solar PV), Honda Malaysia turut melaksanakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang berfungsi menyimpan lebihan tenaga solar untuk digunakan apabila diperlukan, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil kepada operasi kilang.

 

Syarikat itu berkata, pelaksanaan BESS menjadikan Honda Malaysia antara perintis dalam kalangan pengguna elektrik industri di negara ini yang memasang sistem berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha mencapai neutral karbon dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

 

Dalam masa sama, Honda Malaysia berjaya memperoleh pensijilan Indeks Kesediaan Industri Iklim dan Kelestarian (COSIRI) dengan penarafan 3.07 bintang, mencerminkan komitmen syarikat terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, projek solar itu bukan sahaja membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, malah membuktikan komitmen syarikat terhadap amalan pembuatan yang bertanggungjawab.

 

 

 

"Penyiapan projek tenaga solar ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian Honda Malaysia. Selain mengurangkan jejak karbon, ia mencerminkan komitmen kami terhadap amalan pembuatan yang bertanggungjawab serta aspirasi untuk menyumbang kepada masa depan yang neutral karbon," katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Inisiatif Kelestarian Diperluas Ke Seluruh Operasi

Beliau berkata, Honda Malaysia akan memperluaskan pemasangan sistem tenaga solar ke gudang bekalan alat ganti di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2027 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang memperkukuh operasi mampan syarikat.

 

Menurut beliau, usaha kelestarian syarikat turut melibatkan rangkaian pengedarnya menerusi pelaksanaan amalan mesra alam seperti sistem penuaian air hujan dan pengurusan pelupusan bateri yang betul bagi meningkatkan prestasi alam sekitar secara menyeluruh.

 

Honda Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka atas sokongan berterusan dalam menjayakan projek berkenaan, termasuk menerusi insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) yang membantu mempercepatkan pelaksanaan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

Selain memperkukuh operasi pembuatannya, syarikat itu terus memperluaskan penawaran model kenderaan hibrid elektrik (eHEV) yang menawarkan prestasi pemanduan serta kecekapan penggunaan bahan api, sekali gus mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

 

Honda Malaysia berkata, syarikat akan terus meningkatkan kecekapan operasi, mengguna pakai teknologi inovatif serta membangunkan produk dan proses pembuatan yang lebih mampan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang dan agenda Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau.- DagangNews.com