KUALA LUMPUR 24 Julai – Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo Airways mencatatkan permintaan yang tinggi bagi laluan antarabangsa pertamanya antara Kuching dan Singapura selepas penerbangan sulungnya pada 22 Julai 2026.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd. Aminuddin berkata, syarikat optimis terhadap operasi laluan baharu itu susulan sambutan yang menggalakkan daripada penumpang di Singapura, khususnya menjelang musim perayaan akan datang.
Beliau berkata, sambutan positif itu didorong terutamanya oleh tambang yang berpatutan, bermula daripada RM399 bagi tiket sehala kelas ekonomi termasuk semua caj, manakala tiket kelas perniagaan ditawarkan pada harga RM871.
"Walaupun jualan tiket hanya dibuka pada 13 Julai 2026, kami sudah menerima tempahan yang sangat memberangsangkan bagi tempoh Tahun Baharu Cina tahun hadapan.
"Kami melihat permintaan yang sangat baik dan penerbangan sulung semalam juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah operasi," katanya selepas sesi taklimat media pada 23 Julai 2026.
Penerbangan sulung AirBorneo MY363 berlepas dari Kuching pada 22 Julai 2026 pukul 6.50 petang dan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada pukul 8.04 malam. Penerbangan pulang MY364 pula berlepas dari Singapura pada pukul 9.27 malam sebelum tiba di Kuching pada pukul 10.36 malam.

Pelancaran laluan antarabangsa pertama AirBorneo sempena sambutan Hari Sarawak itu mencerminkan pertumbuhan berterusan negeri berkenaan serta aspirasi bersama untuk menjadikan Sarawak sebagai pintu masuk utama yang dinamik ke rantau ini.
Menurut Megat Ardian, laluan baharu itu merupakan permulaan kepada pengembangan rangkaian antarabangsa AirBorneo yang akan diteruskan secara strategik ke lebih banyak destinasi di rantau ini.
Katanya, Singapura dipilih sebagai destinasi antarabangsa pertama kerana hubungan yang kukuh serta jaringan ekonomi yang erat antara Sarawak dan salah satu hab penerbangan serta perdagangan utama di rantau ini.
"Kami berharap dapat menghubungkan Sarawak dengan lebih banyak destinasi pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan serantau dan menyokong pertumbuhan jangka panjang negeri ini," katanya.
AirBorneo kini mengendalikan satu penerbangan setiap hari bagi laluan Kuching-Singapura dan bercadang menambah kekerapan penerbangan apabila menerima pesawat baharu.
Megat Ardian berkata, syarikat menyasarkan untuk meningkatkan operasi kepada dua penerbangan sehari menjelang penghujung tahun ini, manakala penerbangan ketiga setiap hari dijangka diperkenalkan seawal suku pertama tahun hadapan. - DagangNews.com








