Tarif baharu Trump ancam PMKS, Samenta tuntut kerajaan segera sediakan bantuan bersasar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif baharu Trump ancam PMKS, Samenta tuntut kerajaan segera sediakan bantuan bersasar

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Julai – Pelaksanaan tarif import baharu Amerika Syarikat (AS) sebanyak 10% ke atas eksport Malaysia dikhuatiri menjejaskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

 

Kesan buruknya meliputi margin, aliran tunai dan daya saing, sekali gus mendorong Persatuan PMKS Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan segera memperkenalkan langkah sokongan secara bersasar.

 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, walaupun Malaysia dikenakan kadar 10% berbanding 12.5% ke atas beberapa negara serantau, beban operasi perlu ditanggung pengeksport tempatan tetap besar.

 

"Tarif ini merupakan penalti kawal selia di peringkat negara berkaitan isu penguatkuasaan import, dan bukannya ketidakpatuhan syarikat pengeksport secara individu," jelas beliau dalam kenyataan.

 

Menurutnya, pelaksanaan menyeluruh menyebabkan PMKS yang mematuhi piawaian buruh serta mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) turut menerima kesan tidak langsung.

 

Ujarnya, kebanyakan PMKS yang menjadi pembekal dalam rantaian nilai global beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil, menyebabkan mereka kini berdepan dilema menyerap kos tarif tambahan.

 

Samenta William Ng
WILLIAM NG

 

Mereka juga kata Ng, mungkin menaikkan harga eksport dan berisiko kehilangan pelanggan di pasaran AS, dengan sektor paling terdedah ialah pembuatan hiliran, pemprosesan kayu dan elektronik ringan.

 

"Justeru, Samenta menggesa PMKS mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dengan memanfaatkan banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), khususnya di Asia Timur," tambah beliau.

 

Pada masa sama ujarnya, PMKS perlu meningkatkan nilai produk menerusi pengeluaran yang lebih khusus dan berteknologi tinggi bagi memastikan daya saing jangka panjang dalam pasaran global.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut digesa menyediakan geran pemadanan khusus bagi kepelbagaian eksport.

 

Langkah berkenaan jelas Ng, termasuk menambah baik geran pembangunan pasaran (MDG), di samping menyediakan dana bersama bagi menampung kos audit pematuhan buruh mengikut piawaian antarabangsa.

 

"Samenta juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan memperluaskan penggunaan Pensijilan Ekonomi Kitaran (CEC) di Malaysia bagi membantu PMKS memperkukuhkan tahao kredibiliti ESG," kata beliau. 

 

Selain itu, kerajaan digesa mempercepatkan kerangka perundangan berkaitan larangan import dari negara ketiga yang dikaitkan dengan buruh paksa, bagi memelihara daya saing PMKS negara. - DagangNews.com