Foodie Media lancar IPO Pasaran ACE, personaliti internet Pinn Yang raih hampir RM3.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Foodie Media lancar IPO Pasaran ACE, personaliti internet Pinn Yang raih hampir RM3.5 juta

Dari kiri, Ketua Pegawai Kandungan Foodie Media Bhd Edward Lim Pinn Jian; COO Ang Rui Mei, CEO Nicholas Lim Pinn Yang dan Pengerusi Yeoh Chen Chow, bersama CEO Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank Michael Oh-Lau Chong Jin; Timbalan CEO Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed, dan Ketua Serantau, Perbankan Pelaburan dan Penasihat, Justin Mahmud Hashimat.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Nov - Foodie Media Bhd, syarikat yang terkenal menerusi akaun media sosial KL Foodie, hari ini melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM75 juta di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurut prospektus yang dikeluarkan pada Khamis, IPO tersebut ditetapkan pada harga 30 sen sesaham dan dijangka mengumpul RM41.4 juta untuk syarikat serta RM33.6 juta lagi untuk pemegang saham sedia ada, termasuk pengasasnya yang juga personaliti internet, Nicholas Lim Pinn Yang.

 

Permohonan bagi saham IPO itu akan ditutup pada 19 November, manakala penyenaraian dijadualkan pada 28 November.

 

Foodie Media terlibat dalam penerbitan media digital dengan menghasilkan, menerbit dan mengedarkan kandungan di pelbagai platform media sosial utama seperti Facebook, Instagram, TikTok, Threads, YouTube, RedNote, Lemon8, X, Douyin, Telegram, WhatsApp serta blog.

 

Lim, 32, yang lebih dikenali sebagai Pinn Yang di internet, dijangka meraih hampir RM3.5 juta hasil penjualan sahamnya dalam syarikat tersebut.

 

 

Pinn Yang

 

 

Isterinya, Ang Rui Mei, yang juga Ketua Pegawai Operasi Foodie Media, bakal memperoleh hampir RM2.4 juta daripada penjualan sahamnya, manakala adik Lim yang juga Ketua Pegawai Kandungan syarikat, Pinn Jian, akan menerima RM2.3 juta.

 

Pada masa ini, Foodie Media menguruskan 34 jenama berfokuskan gaya hidup di seluruh Asia Tenggara yang meliputi pelbagai topik termasuk makanan dan minuman, hartanah, kediaman, pelancongan, rekreasi, teknologi, sukan dan automotif.

 

Antara jenama kandungan digital di bawah syarikat tersebut ialah Pinn Yang, KL Foodie, Bangkok Foodie, Penang Foodie, Foodie, Halal Foodie, Singapore Foodie, Johor Foodie dan Malaysia Homie.

 

Lebih separuh daripada hasil IPO akan digunakan untuk merekrut hampir 200 kakitangan baharu. Syarikat itu turut merancang membelanjakan RM9.2 juta bagi membeli bangunan baharu untuk menempatkan studio penstriman langsung, membeli peralatan serta melanggan perisian pengurusan media sosial.

 

Baki hasil IPO akan digunakan sebagai modal kerja dan bagi menampung kos penyenaraian.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024, Foodie Media mencatatkan keuntungan bersih RM7.45 juta dengan hasil RM23.95 juta. Margin keuntungan kasar ialah 59.4% manakala margin keuntungan sebelum cukai 44.1%.

 

Maybank Investment Bank berperanan sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO tersebut. - DagangNews.com