EcoWorld diyakini meraih jualan keseluruhan tahunan RM4 bilion bagi FY26 lebih awal, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoWorld diyakini meraih jualan keseluruhan tahunan RM4 bilion bagi FY26 lebih awal, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 JunEco World Development Group Berhad berada di landasan kukuh mencapai sasaran jualan FY26 lebih awal apabila mencatatkan RM3.28 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama.

 

Menurut penganalisis, jumlah yang memberangsangkan itu bersamaan 82% daripada sasaran tahunan RM4 bilion, didorong oleh permintaan secara berterusan terhadap hartanah perindustrian dan kediaman.

 

Perkembangan positif itu ujar mereka, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan pemaju hartanah tersebut kepada RM5.38 bilion selain mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat.

 

"Prestasi EcoWorld bagi separuh pertama FY26 melepasi jangkaannya dan konsensus pasaran, disokong margin keuntungan lebih tinggi daripada unjuran," jelas Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Firma itu berkata, keuntungan bersih teras terkumpul sebanyak RM285.6 juta naik 35.9% berbanding tempoh sama tahun lalu dan mewakili 54% daripada unjuran pendapatan penuh tahun kewangan 2026.

 

Tambahnya, margin keuntungan kasar bagi suku kedua FY26 kekal tinggi pada 31.3% berbanding 30.2% setahun lalu hasil sumbangan kukuh projek-projek yang sedang berjalan, dan usaha penjimatan kos.

 

Artikel berkaitan: Jualan EcoWorld cecah RM3.28 bilion dalam 7 bulan, untung 1H26 naik kepada RM304 juta

 

Wilayah Selatan ujar PublicInvest, terus menjadi penyumbang terbesar jualan EcoWorld dengan RM1.66 bilion atau 51%, diikuti Wilayah Tengah sebanyak RM1.45 bilion dan Wilayah Utara pula RM168 juta.

 

"Segmen kediaman menjana RM1.74 bilion atau 53%, manakala segmen perindustrian meraih pertumbuhan pesat dengan jualan RM1.15 bilion atau 35% daripada jumlah jualan keseluruhan," katanya lagi.

 

Selain itu, firma berkenaan turut menyorot prestasi cemerlang projek Eco Business Park VII di Negeri Sembilan yang merekodkan jualan kira-kira RM796 juta sejak dilancarkan pada November 2025.

 

Jelas PublicInvest, penjualan baki lot tanah perindustrian EcoWorld di Iskandar Malaysia kepada KNBDC Malaysia Five Sdn Bhd pada harga RM281 juta turut menyumbang kepada momentum jualannya.

 

Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 sekitar 6% berikutan andaian margin yang lebih tinggi, namun mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham.

 

"Sementara kami menilai keuntungan bersih teras RM285.6 juta bagi separuh pertama FY26 adalah selaras jangkaan dan membentuk 52% daripada unjuran hasil penuh tahunannya," kata MBSB Research.

 

EcoWorld_DagangNews2026

 

Firma itu berkata, walaupun keuntungan EcoWorld bagi 2QFY26 susut 18.2% berbanding suku sebelumnya kepada RM128.5 juta, prestasi menunjukkan peningkatan 11.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Menurutnya, peningkatan pendapatan separuh pertama FY26 banyak dibantu oleh pengiktirafan jualan tanah industri di Eco Business Park I di Iskandar Malaysia dan Eco Business Park V di Selangor.

 

MBSB Research turut menyifatkan jualan baharu RM3.28 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama FY26 sebagai kukuh, didorong oleh prestasi segmen taman perindustrian terutama Eco Business Park VII.

 

"Pada masa sama, pendapatan EcoWorld naik kepada RM5.38 bilion berbanding RM5.11 bilion pada suku sebelumnya, dan menyediakan keterlihatan hasil selama kira-kira 1.8 tahun," jelas firma tersebut.

 

Ia menjangkakan prospek pendapatan FY26 kekal positif hasil pengiktirafan jualan tanah, manakala prestasi selepas FY27 akan disokong oleh sumbangan penyewaan daripada pusat data Pearl Computing.

 

Bagaimanapun, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dan TP RM2.09 sesaham kerana berpendapat kebanyakan pemangkin positif sudah diambil kira dalam harga semasa syarikat. - DagangNews.com